1,441 calon STPM Negeri Sembilan lulus penuh

Aminuddin (empat kanan) ketika menyampaikan keputusan STPM kepada calon terlibat di Seremban pada Khamis.
Aminuddin (empat kanan) ketika menyampaikan keputusan STPM kepada calon terlibat di Seremban pada Khamis.
A
A
A

SEREMBAN - Seramai 1,424 daripada 1,441 calon Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) di Negeri Sembilan tahun lalu lulus penuh dengan mendapat sekurang-kurangnya satu mata pelajaran peringkat prinsipal.

Pengarah Pendidikan Negeri Sembilan, Dr Roslan Hussin berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan iaitu 98.82 peratus berbanding 98.84 peratus pada tahun 2021, manakala 17 calon iaitu 1.18 peratus telah memperoleh keputusan lulus sebahagian.

Menurutnya, daripada jumlah tersebut seramai 63 calon lulus lima prinsipal (4.37 peratus), 1,040 calon lulus empat prinsipal (72.17 peratus), 214 lulus tiga prinsipal (14.85 peratus), 70 lulus dua prinsipal (4.86 peratus) dan 37 lulus satu prinsipal (2.57 peratus).

"Bagi tahun 2022, seramai 43 orang calon STPM di Negeri Sembilan telah memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00 berbanding 38 orang pada tahun 2021.

"Mereka ini terdiri daripada 29 calon (Sains Sosial), lapan calon (Sains) dan enam calon (Agama). Di sini jelas terbukti kita telah berjaya meningkatkan kuantiti dan kualiti calon cemerlang 4.00 bagi Negeri Sembilan," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pengumuman keputusan peperiksaan STPM di Kolej Tingkatan Enam di sini pada Khamis.

Hadir sama, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Dalam pada itu, Roslan berkata, jika dilihat perbandingan di antara pencapaian tahun 2021 dan 2022, terdapat peningkatan yang signifikan dari segi jumlah calon yang memperoleh lulus lima prinsipal dan tiga prinsipal iaitu sebanyak (0.26 peratus) bagi lima prinsipal dan (2.52 peratus ) bagi tiga prinsipal.

Katanya, berdasarkan rekod didapati daerah Rembau masih lagi mengungguli carta dengan pencapaian purata nilai gred keseluruhan (PNGK) daerah sebanyak 3.01 berbanding 3.15 (2021) (penurunan sebanyak 0.14 peratus).

"Bagaimanapun daerah Jempol, Jelebu telah menunjukkan peningkatan yang baik iaitu pada tahun 2021, PNGK daerah adalah 2.77. Pada tahun 2022 meningkat kepada 2.82 iaitu peningkatan sebanyak 0.05 peratus.

"Daerah Tampin 2.88 (turun 0.07 peratus), daerah Kuala Pilah 2.83 (turun 0.18 peratus), daerah Seremban 2.81 (turun 0.03 peratus) dan daerah Port Dickson 2.74 (turun 0.01 peratus).

"Daerah-daerah lain pula menunjukkan penurunan, tetapi Negeri Sembilan berjaya meningkatkan kuantiti dan kualiti calon cemerlang PNGK 4.00," katanya.