Laporan palsu bongkar kes penyeludupan manusia

A
A
A

ALOR SETAR - Tindakan seorang lelaki membuat laporan palsu mengenai kecurian peralatan dan kelengkapan milik syarikat serta perbuatan khianat ke atas tanaman diusahakan telah membongkar kes penyeludupan manusia dengan niat eksploitasi untuk aktiviti perlombongan nadir bumi (REE) di Kompartmen 12 Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, satu siasatan dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sik berikutan laporan polis dibuat seorang pengurus sebuah syarikat yang dilantik bagi mengusahakan ladang hutan di kawasan terbabit pada 31 Mei lalu.

Bagaimanapun, beliau berkata, hasil siasatan mendapati semua peralatan didakwa dicuri atau hilang sebenarnya disita Jabatan Perhutanan Negeri Kedah dalam beberapa siri operasi dan serbuan termasuklah pemusnahan kawasan atas kesalahan menceroboh hutan simpan tanpa permit dan perlombongan REE secara haram pada Februari lepas.

"Siasatan lanjut polis membawa kepada pembongkaran satu aktiviti penyeludupan migran melalui sempadan Malaysia-Thailand ke kawasan Hutan Simpan, Kompartmen 12 Bukit Enggang, Sik bagi tujuan dijadikan buruh dengan niat dieksploitasi.

"Sehubungan itu, satu laporan polis dibuat dan siasatan dijalankan Bahagian Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dengan satu operasi khas dilakukan bagi mengesan suspek terlibat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Kedah pada Khamis.

Fisol (kanan) menunjukkan suspek kes penyeludupan manusia dengan niat eksploitasi di Ladang Hutan Kompartmen 12 Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik.
Fisol (kanan) menunjukkan suspek kes penyeludupan manusia dengan niat eksploitasi di Ladang Hutan Kompartmen 12 Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik.

Beliau memaklumkan, empat suspek termasuk seorang wanita warga tempatan ditahan dalam operasi khas itu pada 21 Jun 2023 diiikuti seorang lagi suspek warga tempatan berjaya dikesan dan ditahan dalam satu serbuan di Baling pada 25 Jun lepas.

"Dalam pemeriksaan itu, kita turut menahan empat PATI serta merampas beberapa peralatan disyaki digunakan untuk melombong REE secara manual dan sejumlah guni diikat berisi bahan mineral disyaki nadir bumi seberat lebih kurang 99 kilogram (kg)," katanya.

Menurut beliau, satu siasatan berasingan turut dijalankan di bawah Seksyen 26A ATIPSOM 2007, Seksyen 29(1) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 susulan tangkapan dan rampasan itu.

Dalam pada itu, Fisol memaklumkan, barang rampasan yang disyaki REE kemudiannya telah dihantar untuk dianalisa ke Makmal Geosains Ipoh di Perak bagi pengesahan kandungan.

Sehingga kini, beliau menyatakan, empat suspek yang ditahan telah dituduh di Mahkamah Sesyen Baling Kedah dengan 18 pertuduhan berasingan pada 12 Julai lepas.

"Tiga lagi suspek dibebaskan dengan bon mahkamah di bawah Seksyen 118 Kanun Tatacara Jenayah sebagai saksi pendakwaan," katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu, Polis Kedah kini sedang mengesan seorang lagi lelaki warga tempatan berusia 46 tahun yang dikehendaki bagi membantu siasatan itu.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan diharap menghubungi Pegawai Penyiasat Kes iaitu Asisten Superintendan Che Intan Subri di talian 013-9329614.