Media bantu kekang sindiket penipuan eBelia Rahmah

Ramli (tengah) menyampaikan sijil penghargaan kepada wakil KL Wellness City kerana sudi menjayakan filem Oppa yang akan ditayangkan di pawagam tidak lama lagi.
Ramli (tengah) menyampaikan sijil penghargaan kepada wakil KL Wellness City kerana sudi menjayakan filem Oppa yang akan ditayangkan di pawagam tidak lama lagi.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Keberkesanan media melaporkan sindiket penipuan perkhidmatan mengeluarkan wang tunai eBelia Rahmah dilihat membantu mengekang jenayah itu daripada terus menular dalam kalangan masyarakat.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, keupayaan pihak media menonjolkan sindiket itu kepada masyarakat umum, jenayah tersebut dapat ditangani dengan baik.

Beliau berkata, tiada penambahan kes melibatkan penipuan perkhidmatan tersebut.

"Pihak polis hanya menerima 14 laporan berkaitan sindiket itu dan ia membabitkan 16 kes dengan nilai kerugian sebanyak RM2,800.

"Jenayah ini berjaya dikekang setelah media membuat laporan tentangnya, sekali gus menyebabkan si pelaku sedar perbuatannya sudah terbongkar dan orang ramai maklum tentang kes itu.

"Tiada lagi tangkapan dibuat, namun begitu pihak polis sentiasa memantau perkara ini," katanya dalam sidang akhbar pada Rabu.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran 'trailer' filem kesedaran antiscam Love Scam bertajuk Oppa yang difilemkan berdasarkan kisah benar.

Karya terbitan bersama PDRM bersama Dream Film itu merupakan penghasilan filem kesedaran pertama di Malaysia.

Hadir sama Timbalan Pengarah Siasatan JSJK Bukit Aman, Datuk Rohaimi Md Isa; penerbit filem Oppa, Aesos Lai.

Sementara itu, ditanya mengenai perkembangan kes penipuan emel (business email compromise) melibatkan wang berjumlah RM28.3 juta, Ramli berkata, pihak polis menasihatkan orang ramai atau syarikat untuk membuat pengesahan pembayaran terlebih dahulu.

Selain itu kata beliau, orang ramai juga diminta menyemak segala transaksi dilakukan dan jangan sama sekali mempercayai mana-mana pihak yang meminta membuat pembayaran secara dalam talian.

"Berhubung kes penipuan emel tersebut, pihak polis berjaya memintas dan menyekat wang sebanyak RM28.3 juta daripada dipindahkan ke akaun bank di luar negara.

"Sehubungan itu, orang ramai harus lebih berhati-hati sekirnya ingin membuat sebarang pembayaran dan berhubung terus dengan syarikat sebenar," ujarnya.