MAFS pergiat usaha tambah baik kedudukan Malaysia dalam GFSI

MAFS sedang mempergiat usaha untuk menambah baik kedudukan negara pada tangga ke-41 dalam GFSI 2022. - Gambar hiasan
MAFS sedang mempergiat usaha untuk menambah baik kedudukan negara pada tangga ke-41 dalam GFSI 2022. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) sedang mempergiat usaha untuk menambah baik kedudukan negara pada tangga ke-41 dalam Indeks Sekuriti Makanan Global (GFSI) 2022.

Ketua Penolong Setiausaha Kanan Cawangan Perancangan Strategik dan Penyelidikan kementerian, Syukrie Mohd Nasir berkata, Malaysia yang mencatat prestasi sederhana dengan markah 69.9 dalam indeks itu, merosot 1.6 mata berbanding tahun sebelumnya.

"Pertama, kami sedang membangunkan pelan tindakan khusus menerusi Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) dan satu lagi Pelan Tindakan Sekuriti Makanan.

"Kami turut meningkatkan penyelarasan rentas agensi dari segi perkongsian data, dan ketiga, kami sedang mengadakan libat urus dengan pelbagai organisasi yang berperanan sebagai sumber rujukan termasuk Jabatan Perangkaan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim,” katanya ketika menyampaikan ucap tama pada Fokus Stratum Bursa-HLIB Siri XV (ke-15) di sini hari ini.

Syukrie berkata, kementerian itu turut mempertingkat akses kepada sumber makanan menerusi pemerkasaan aktiviti-aktiviti pemasaran seperti Jualan Agro Madani kepada segenap lapisan masyarakat.

Berikutan kenaikan harga makanan terus memberikan cabaran kepada negara dan dunia, beliau berkata, MAFS bercadang untuk membangunkan hab biji benih dan mempunyai lebih banyak varieti biji benih menerusi aktiviti penyelidikan dan pembangunan, terutamanya untuk padi dan beras yang sebahagian besarnya diimport pada masa ini.

Syukrie berkata, terdapat keperluan untuk kementerian itu mewujudkan dasar pelaburan yang baik dan kondusif serta menjalinkan perkongsian strategik dengan pelbagai pihak termasuk syarikat berkaitan kerajaan di peringkat negeri dan persekutuan, selain menumpukan kepada pemodenan sektor makanan pertanian melalui automasi, penjenteraan dan teknologi.

"Kami perlu mempunyai data asas yang baik. Ketika ini kami juga sedang menjalankan kajian dengan Bank Dunia berhubung pendigitalan di Malaysia untuk menilai situasi terkini penerimagunaan teknologi untuk sektor ini.

"Pada masa ini, tahap penerimagunaan tersebut hanya pada 0.4 peratus," kata Syukrie. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!