Warga emas mengaku salah tembak mati lima ekor lembu

Seorang warga emas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, di sini pada Rabu atas pertuduhan menembak mati lima ekor lembu yang menceroboh masuk kebunnya.
Seorang warga emas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, di sini pada Rabu atas pertuduhan menembak mati lima ekor lembu yang menceroboh masuk kebunnya.
A
A
A

JASIN - Seorang warga emas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, di sini pada Rabu atas pertuduhan menembak mati lima ekor lembu yang menceroboh masuk kebunnya.

Midon Lambak, 79, membuat pengakuan itu selepas dua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd Firdaus Saleh.

Bagaimanapun, hukuman bagi pengakuan itu ditangguhkan pada 17 Julai ini sementara menunggu untuk barang kes iaitu senjata sejenis shotgun dibawa ke mahkamah.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa telah menembak menggunakan senjata sejenis shotgun 12 Bore jenis Baretta A303 terhadap lima ekor lembu sehingga menyebabkan kematian.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di kebun Felda Bukit Senggeh, Nyalas, Asahan di sini pada jam 7.30 pagi, 15 April lalu.

Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 39(a) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman maksimum satu tahun atau dengan denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Manakala pertuduhan kedua, tertuduh didakwa dengan sengaja melakukan khianat dengan membunuh atau mencacatkan seekor haiwan yang bernilai RM5,000 sehingga menyebabkan kematian ke atas lembu itu.

Kesalahan dilakukan pada masa, tempat dan tarikh yang sama.

Berikutan itu, dia didakwa di bawah Seksyen 428 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun atau dengan denda atau dengan kedua-dua sekali.

Difahamkan, tertuduh mengambil tindakan tersebut kerana hilang sabar apabila haiwan ternakan itu dibiarkan berkeliaran tanpa kawalan oleh pemiliknya sehingga merosakkan tanaman warga emas terbabit.

Perkara tersebut juga pernah diadukan tertuduh kepada pemiliknya, namun tidak diendahkan.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Hanis Aliah Ahmad Kamarulnajuib mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu dikenakan jaminan rendah dengan alasan tidak bekerja dan hanya menguruskan kebun selain kerap diserang strok ringan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin.