'Karya ilmiah Yusuf Al-Qaradawi beri kesan kepada saya' - Anwar

Datuk Seri Anwar Ibrahim. - Foto Bernama
Datuk Seri Anwar Ibrahim. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau sama sekali tidak bersikap berat sebelah kerana sering menjadikan ulama tersohor Syeikh Dr Yusuf Al-Qaradawi dan karya pemikir Islam itu sebagai rujukan sejak zaman muda beliau sehingga kini.

Anwar berkata, karya ilmiah Yusuf Al-Qaradawi yang mengupas pelbagai aspek kesederhanaan dari segi pemikiran, tindakan, pemahaman dan kehidupan dalam ekonomi dan sosial umat Islam amat memberi kesan kepada kehidupan beliau.

"Kekuatan beliau ialah beliau menimba ilmu daripada khazanah lampau yang banyak tapi mengolah daripada zaman semasa, cara beliau kupas itu cukup menarik, beliau bawa kupasan itu selalunya luas daripada ruang lingkup terbatas,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran buku ‘Syeikh Yusuf Al-Qaradawi, Sebuah Autobiografi: Sang Pelita Umat’ yang turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan anak Yusuf Al-Qaradawi, Dr Mohammad Al-Qaradawi.

Perdana Menteri memberi contoh Fiqh Az-Zakat, yang dihasilkan oleh Yusuf Al-Qaradawi, disifatkan sebagai karya terbaik di dunia yang mengupas begitu mendalam mengenai kepentingan zakat sebagai institusi tonggak umat Islam dalam membantu golongan fakir dan miskin.

Perdana Menteri berkata, kupasan karya itu, antara lain menyentuh kepentingan tata kelola dan pengurusan sistem ekonomi yang baik dalam menangani kemiskinan.

"Kupasan beliau ini bukan sahaja ketuk pintu hati kita tapi dapat menarik minat anak-anak muda untuk mempunyai semangat dan kekuatan membawa perubahan,” katanya.

Daripada aspek peribadi, Anwar turut mengimbau kisah Yusuf Al-Qaradawi yang sentiasa ada bersama beliau pada saat-saat getirnya dan sering menerima kata-kata nasihat daripada ulama berkenaan.

"Beliau tokoh gergasi dalam dunia ilmu tapi beliau anggap kita macam sahabat, ada hal kita tanya beliau, ada hal beliau tanya kita. Kasihnya daripada dulu, beliau mengambil berat, mengambil tahu, apatah lagi hidup saya, Azizah (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) dan anak-anak, beliau itu seolah-olah tonggak yang sentiasa ada,” katanya.

Buku Sang Pelita Umat, daripada edisi asalnya dalam Bahasa Arab, mengisahkan perjalanan hidup ulama kelahiran Mesir itu sejak kecil yang aktif mengaji al-Quran, zaman persekolahan di Madrasah Diniyyah hingga Aliyah serta zaman kuliah hingga beliau menamatkan pengajian di peringkat sarjana.

Sepanjang hayatnya, Yusuf Al-Qaradawi, yang meninggal dunia pada 26 Sept tahun lepas pada usia 96 tahun, telah menghasilkan lebih 120 buku termasuk naskhah perundangan Islam selain menerima pelbagai pengiktirafan antarabangsa.

Atas jasa bakti beliau dalam dunia Islam, Kerajaan Malaysia telah menganugerahkan Allahyarham sebagai Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa pada 2009. - Bernama.