Tiga lelaki ditahan bantu kes pukul anjing sampai mati

A
A
A

BALIK PULAU - Polis berjaya menahan tiga lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes menyerang anjing menggunakan kayu di kawasan semak sehingga menyebabkan kematian haiwan berkenaan.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, ketiga-tiga lelaki berusia lingkungan 40 hingga 53 tahun itu ditahan di sekitar Batu Maung, di sini antara jam 11.45 malam 9 Julai hingga 1 pagi, 10 Julai.

Menurutnya, kesemua suspek yang bekerja sebagai ejen kargo, nelayan dan pemandu bas direman tiga hari sehingga 12 Julai ini untuk siasatan lanjut.

"Ketiga-tiga suspek tidak mempunyai rekod jenayah dan saringan air kencing juga didapati bebas dari sebarang pengambilan dadah.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 29(1) Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang memperuntukkan hukuman denda hingga RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

"Kes juga disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia yang mana, jika didapati bersalah, boleh didenda RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali," katanya dalam satu kenyataan media pada Isnin.

Sebelum ini, polis sedang mengesan dua lelaki selepas video memaparkan mereka menyerang seekor anjing yang terjatuh di dalam longkang tular sejak Ahad.

Laporan Sinar Harian pada Isnin.
Laporan Sinar Harian pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden Kamarul Rizal Jenal berkata, satu klip video berserta artikel bertajuk 'Tidak cukup dilanggar motosikal, anjing tidak berdosa diseksa dua lelaki durjana sampai mati' terkesan telah tular di media sosial pada jam 6 petang, Ahad.

Menurutnya, menerusi video berkenaan, terdapat dua lelaki sedang menyerang sesuatu menggunakan kayu di kawasan semak.

Kamarul Rizal berkata lagi, susulan daripada itu, satu laporan dibuat oleh seorang anggota polis untuk siasatan dan tindakan lanjut selepas menyaksikan klip video berkenaan.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati, kejadian tersebut berlaku pada jam 8.38 malam, 8 Julai lalu di Kampung Telok Tempoyak di Batu Maung, Bayan Lepas.