PRN: PN harap hanya berlaku pertembungan dua penjuru

Abdul Hadi (kanan) ketika menerima kunjungan Muhyiddin di Masjid Kampung Rusila, di Marang pada petang Sabtu.
Abdul Hadi (kanan) ketika menerima kunjungan Muhyiddin di Masjid Kampung Rusila, di Marang pada petang Sabtu.
A
A
A

MARANG - Perikatan Nasional (PN) berharap hanya berlaku pertembungan dua penjuru antara parti pembangkang itu dengan blok kerajaan yang terdiri daripada gabungan Pakatan Harapan (PH) dan BN pada pilihan raya negeri (PRN) kali ini.

Timbalan Pengerusinya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, ia bagi mengelak rakyat berdepan kesukaran untuk memilih calon yang akan diundi sebagai pemimpin mereka.

"Kita mengharapkan berlaku pertandingan dua penjuru antara PN dengan PH. Tidak adalah banyak parti lagi.

"Insya-ALLAH, kita berusaha ke arah itu untuk menyenangkan rakyat memilih," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin di kediamannya di Masjid Kampung Rusila, di sini pada petang Sabtu.

Mengulas mengenai persiapan PRN, Presiden Pas itu berkata, Majlis Syura Ulama Pas telah meluluskan semua nama daripada parti itu yang disenaraikan untuk bertanding pada PRN nanti.

Namun, katanya ia belum dimuktamadkan lagi dan masih di peringkat penelitian bagi mengenal pasti calon-calon yang akan diangkat bagi mewakili parti dan bertanding di kawasan masing-masing.

"Semalam (Jumaat) Majlis Syura Ulama telah menyemak semua calon yang disenaraikan daripada Pas termasuk Tan Sri Annuar Musa, tetapi beliau tidak berhasrat untuk bertanding.

"Kita sebenarnya lebih setuju sekiranya beliau (Annuar) berperanan di peringkat nasional memandangkan beliau adalah tokoh besar. Beliau lebih sesuai di peringkat nasional, bukan negeri," ujarnya.

Dalam pada itu, Abdul Hadi berkata, beliau berharap gelombang Pilihan Raya Umum ke15 (PRU15) pada November tahun lalu dapat diteruskan dan lebih kuat lagi.

"Kita menyaksikan gelombang rakyat sangat positif terhadap PN terutama apabila melihat kenyataan-kenyataan terlalu negatif daripada pimpinan PH.

"Kenyataan sepintas lalu yang bercanggah. Rakyat dapat lihat sendiri segala janji-janji yang tidak dapat ditunaikan," ujar beliau.

SPR baru-baru ini menetapkan hari pengundian PRN di enam negeri melibatkan Terengganu, Kelantan, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang diadakan serentak pada 12 Ogos manakala 29 Julai hari penamaan calon dan 8 Ogos sebagai hari pengundian awal.