'Tujuh bulan sulam penawar kebobrokan pemimpin dahulu'

Muhammad Kamil
Muhammad Kamil
A
A
A

SHAH ALAM - Tujuh bulan tertubuhnya Kerajaan Perpaduan adalah satu tanggungjawab kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan dan kabinet untuk menyulam penawar kebobrokan pemimpin terdahulu.

Menurut Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim, perdana-perdana menteri sebelum ini tiada yang bertindak tegas terhadap penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan wang rakyat.

“Andai saham dan habuan rasuah yang didakwa akan berlaku kepada Perdana Menteri (Anwar) bila tiba waktu beliau melepaskan jawatan tersebut dan itu merupakan cerminan ‘politik dinosaur’.

“Hal itu menjadi iklim toleransi korupsi semasa bekas Speaker Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim dalam tempoh perkhidmatan,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Pada 26 Jun lalu, media melaporkan, Rais mengajak rakyat di enam negeri yang terlibat dalam pilihan raya negeri (PRN) bersatu memperkasakan perjuangan demi bangsa, agama dan pertiwi.

Sementara itu, Muhammad Kamil menjelaskan tiada ada istilah terpilih Perdana Menteri pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kerana rakyat telah diberikan mandat yang dinanti-nantikan setiap kali menjelangnya pilihan raya.

Katanya, kepercayaan yang dikembalikan kepada rakyat oleh kerajaan terdahulu, akhirnya diserahkan kepada Kerajaan Perpaduan dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong.

“Malah dengan kepercayaan serta menjunjung titah Baginda seperti berbelas kali juga sebelum ini, Perdana Menteri (Anwar) menjalankan tugasnya untuk memilih barisan menteri untuk mengemudi Malaysia.

“Apakah provokasi sesat arah, niat dan perjuangan dilemparkan hanya kerana sebahagian daripada mereka dilahirkan dengan warna kulit berbeza?” soalnya.

Pada masa sama, Muhammad Kamil memaklumkan bukan perkara luar biasa sekiranya Rais atau sesiapa sahaja mempromosikan parti atau perikatan naungan sendiri.

Jelasnya, mengundi Perikatan Nasional adalah milik sesiapa sahaja, namun jangan didosakan mereka yang tidak memilih parti tersebut.

Ujar Muhammad Kamil, citra Melayu bukanlah terletak pada naiknya seseorang dengan siapa yang lebih hina.

“Melayu itu jatinya pada kekuatan tauladan. Apakah mulia sekiranya bangsa majoriti ini bertanding di semua kerusi, memenangi semua kerusi, lalu menindas bangsa sendiri dengan kuasa yang dimiliki?

“Mungkin Melayu generasi Tan Sri terperangkap dalam dilema, satu ketika dahulu tatkala perlahan-lahan ia ditolak oleh kaum sendiri, apatah lagi oleh bangsa lain,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!