Laporan saksi utama sahih, Peter akan hantar bukti baharu

Peter Anthony menunjukkan salinan laporan polis yang mengesahkan laporan pertama pada 2018 oleh saksi utama kes perbicaraannya adalah sahih pada sidang media di Shah Alam pada Sabtu.
Peter Anthony menunjukkan salinan laporan polis yang mengesahkan laporan pertama pada 2018 oleh saksi utama kes perbicaraannya adalah sahih pada sidang media di Shah Alam pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Datuk Peter Anthony meluahkan rasa lega kerana laporan pertama saksi utama kes perbicaraan yang dibuat pada 2018 telah disahkan sahih oleh pihak polis pada 3 Julai lalu.

Beliau yang juga bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah berkata, pengesahan laporan tersebut telah membuktikan dirinya dianiayai sebelum ini, sehingga disabitkan pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 2020.

Sehubungan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Melalap itu berkata, dia akan mengambil tindakan susulan dengan menghantar salinan polis itu sebagai bukti baharu kepada Mahkamah Rayuan dan Pejabat Peguam Negara bagi mendapat keadilan yang sewajarnya.

“Keputusan yang diperoleh daripada balai polis Putatan di Penampang mengesahkan kenyataan yang dibuat Mohd Shukur Mohd Din iaitu saksi utama kes pertuduhan saya menerusi satu laporan awal pada 2018 adalah sahih.

“Menerusi pengesahan tersebut, saya akan serahkan salinan itu bagi Pejabat Peguam Negara dan Mahkamah Rayuan untuk tindakan susulan agar perkara ini dapat diselesaikan dengan baik.

“Laporan sahih itu membuktikan satu konspirasi politik jahat yang cuba mengaibkan saya, sehingga membolehkan saya disabitkan kesalahan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 2020,” katanya pada sidang media khas pada Sabtu.

Baru-baru ini, Peter membuat laporan polis susulan satu artikel di media sosial mengaitkan saksi utama perbicaraannya yang mendedahkan bahawa pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menokok tambah laporan yang dibuatnya sekitar lapan tahun yang lepas.

Laporan itu dibuat dengan tujuan bagi mendapatkan perbicaraan semula dan menggugurkan semua kes sabitan yang dikenakan terhadapnya.

Mengulas lanjut, Peter berharap tiga dokumen baharu yang membabitkan salinan polis akan mendapat perhatian utama Pejabat Peguam Negara dan Mahkamah Rayuan untuk meneliti semula kesnya kerana ia berkait rapat dengan Mohd Shukur yang kini tidak lagi relevan menjadi saksi utama dalam kes perbicaraannya.

“Artikel yang tersebar di media sosial ketika ini adalah sahih yang berkisar dakwaan terdapat ahli politik cuba menjatuhkan saya.

“Sekiranya laporan pertama itu dibawa dalam afidavit dan hujahan ketika perbicaraan, sudah pasti keputusan mahkamah akan berubah.

“Apa-apa pun saya syukur laporan ini tersebar di media sosial dan yakin ada yang bersimpati dengan apa yang menimpa saya,” ujarnya.

Sementara itu, pengurusan kes di Mahkamah Rayuan oleh Peter akan diperdengar pada akhir Julai, selepas Mahkamah Tinggi mengekalkan sabitan dan hukuman penjara tiga tahun serta denda RM50,000 terhadapnya.

Ia berhubung dakwaan memalsukan dokumen berhubung kontrak penyelenggaraan Sistem Mekanikal dan Elektrikal (M&E) di Universiti Malaysia Sabah (UMS) kira-kira sembilan tahun lalu.

Pada 26 Mei tahu lalu, Peter dipenjara tiga tahun dan denda RM50,000 di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas pertuduhan memalsukan surat berhubung kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan M&E di UMS tujuh tahun lalu.

Peter yang juga sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati Sdn Bhd didakwa memalsukan surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014 iaitu memasukkan pernyataan palsu dengan niat digunakan untuk tujuan menipu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di pejabat Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 13 Jun dan 21 Ogos 2014.

Perayu didakwa mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.