MB nasihat media guna tajuk lebih tepat

Wan Rosdy pada Program Kick Off Pahang Pride Kid 2023 di Hospital Kuala Lipis, pada Khamis.
Wan Rosdy pada Program Kick Off Pahang Pride Kid 2023 di Hospital Kuala Lipis, pada Khamis.
A
A
A

LIPIS - Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menasihatkan pihak media menggunakan tajuk yang lebih tepat bagi mengelakkan orang menyalah tafsir kandungan berita yang sebenar.

Katanya, bagaimanapun netizen juga perlu lebih bijak menilai berita dengan membaca keseluruhan pelaporan berkenaan sesuatu isu dan tidak hanya membaca tajuk semata-mata.

"Tajuk seperti itu telah menimbulkan salah faham dan kekeliruan dalam masyarakat hingga timbul pelbagai persepsi dan naratif yang beranggapan pihak pekebun telah menang dalam perbicaraan di mahkamah,” katanya pada Khamis merujuk kepada satu laporan berita berkaitan keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan melibatkan pekebun musang king.

Wan Rosdy berkata demikian kepada pemberita selepas Program Kick Off Pahang Pride Kid 2023 di Hospital Kuala Lipis.

Katanya, adalah penting untuk orang ramai membaca isi kandungan dan cuba mendapatkan pandangan daripada pihak-pihak lain sebagai sumber.

"Dapatkan berita lebih lanjut dengan membaca keseluruhan laporan atau pun mencari maklumat daripada pelbagai sumber yang tepat sebelum membuat sebarang penilaian dan pentafsiran.

“Saya menasihatkan semua netizen supaya jangan baca tajuk sahaja, kadang-kadang kita baca tajuk contoh ‘Kemenangan Bermakna Pekebun Musang King’, kalau baca tajuk sahaja, boleh ditafsirkan seolah-olah kerajaan negeri kalah dalam kes dan sebagainya," jelasnya.

Sementara itu, Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri, Fadzli Mohamad Kamal menjelaskan keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan sebelum ini hanya berhubung permohonan interlokutori (bantahan awal) pihak Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd (RPDR-PKPP).

Menurutnya permohonan itu bagi pembatalan prosiding atas alasan peguam pekebun terlibat gagal mengemukakan dokumen untuk mewakili semua pemohon.

"Keputusan itu tiada kena-mengena dengan permohonan semakan kehakiman, yang tarikhnya belum lagi ditetapkan mahkamah itu," katanya.

Beliau berkata, bagaimanapun telah timbul pelbagai persepsi dan naratif yang beranggapan pihak pekebun telah menang dalam perbicaraan di mahkamah berhubung tuntutan mereka untuk mendapatkan kebenaran permohonan semakan kehakiman terhadap notis arahan pengosongan tanah yang dikeluarkan kerajaan negeri.

"Kerajaan negeri terbuka menerima pandangan semua pihak, namun laporan berita yang mendapat perhatian umum perlulah berasaskan fakta dan tidak bersifat menimbulkan provokasi serta salah faham," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!