Polis buru dalang Geng Thomas aktif curi kenderaan mewah

Ahmad Sukarno.
Ahmad Sukarno.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis sedang mengesan dua lelaki ahli geng Thomas yang aktif sejak awal tahun lepas dalam kegiatan mencuri kenderaan mewah termasuk dari Singapura.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, lelaki tempatan berusia 29 dan 35 tahun yang dikenali sebagai Thomas dan Samuel itu disyaki dalang utama kumpulan berkenaan.

Beliau berkata, operasi mengesan mereka dilakukan selepas pihaknya berjaya menahan enam lelaki yang bertindak sebagai orang suruhan kepada suspek menerusi tiga serbuan di sekitar ibu negara dan Puchong, Selangor.

Menurut Ahmad Sukarno, enam lelaki berusia 30 hingga 56 tahun itu ditahan pada 28 Jun lepas dan polis berjaya merampas empat kereta, dua alat kawalan jauh serta beberapa dokumen milikan kenderaan.

"Hasil siasatan mendapati kumpulan ini menyasarkan kereta mewah jenis Toyota Vellfire dan BMW serta kereta ‘scrap’ dari Singapura.

"Suspek akan mencuri (kereta) dan menukar nombor casis dan enjin kenderaan yang disyaki maklumat tersebut diperoleh daripada syarikat insurans sebelum dijual di laman sesawang dengan harga murah daripada pasaran iaitu antara RM20,000 hingga RM90,000," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di sini pada Jumaat.

Ahmad Sukarno berkata kumpulan itu turut menjual kenderaan klon dari Singapura dan meletakkan nombor casis kereta yang didaftarkan sebagai musnah sepenuhnya.

Beliau berkata, susulan penahanan enam lelaki itu, polis percaya berjaya menyelesaikan empat kes curi kenderaan yang dilaporkan di sekitar Kuala Lumpur dan Perak.

"Lima daripada mereka dibebaskan dengan jaminan polis dan dijadikan saksi pendakwaan manakala seorang lagi diserahkan kepada IPD Ipoh untuk siasatan kes di sana,” katanya.

Katanya, kesemua lelaki itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan kes kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Dalam kes berasingan, Ahmad Sukarno berkata, polis menahan tiga lelaki berusia 19 hingga 21 tahun disyaki terbabit dalam kes ragut di sebuah pangsapuri di Kepong, Rabu lepas.

Beliau berkata, kumpulan itu yang aktif sejak awal tahun ini dikenal pasti melakukan aktiviti ragut menggunakan motosikal di kawasan terbuka dengan menyasarkan penunggang dan pembonceng motosikal warga emas yang menggalas atau meletakkan beg di dalam bakul.

"Dua daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan ketiga-tiga mereka akan disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan,” katanya.

Beliau berkata, dengan penahanan itu, empat kes ragut di sekitar Kuala Lumpur dan satu kes samun dilaporkan di Sri Muda, Shah Alam berjaya diselesaikan. - Bernama