Beri kuasa Suhakam buat lawatan mengejut di penjara - Suaram

Sevan Doraisamy
Sevan Doraisamy
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan diminta memperkasakan sistem semak dan imbang dengan memberikan kuasa kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) membuat lawatan mengejut ke penjara.

Ia bagi mengelak insiden penderaan terhadap banduan seperti dakwaan berlaku di sebuah penjara di utara negara baru-baru ini berulang.

Pengarah Eksekutif Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Sevan Doraisamy berkata, lawatan itu bagi mendapatkan gambaran sebenar berkaitan tahanan selain mengelakkan sebarang notis awal dikeluarkan yang akan memberi peluang kepada pelaku merosakkan bukti dan tempat kejadian.

“Berdasarkan laporan Free Malaysia Today, banduan dipukul dan diseksa menggunakan paip polivinil klorida (PVC) serta objek tumpul, dinafikan akses kepada bekalan air yang mencukupi, makanan kotor, tidak diberikan rawatan profesional serta dibogelkan untuk tujuan mengaibkan.

“Dakwaan ini telah melanggar peruntukan-peruntukan dalam Kaedah-kaedah Lokap 1953 dan Akta Penjara, mencabar integriti jabatan serta mencemarkan nama baik Malaysia sebagai Ahli Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di peringkat antarabangsa,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Ujarnya, kesemua mangsa penderaan itu pernah membuat aduan pada 2022 namun tidak dilayan dan ia merupakan cubaan kedua yang mana 125 orang banduan menandatangani petisyen selain meminta pihak kerajaan mencampur tangan serta mengambil tindakan.

Tambah Sevan, peranan Hakim Pelawat juga perlu diperkukuhkan untuk membanteras segala layanan zalim terhadap banduan selain kerajaan menggubal satu Akta Anti-Penyeksaan bagi menjenayahkan sebarang bentuk seksaan.

“Suaram menggesa orang ramai menyertai Konvensyen Menentang Penyeksaan Dan Layanan atau Hukuman Lain Yang Zalim, Tidak Berperikemanusiaan atau Menjatuhkan Maruah (UNCAT).

“Ia akan membantu negara membangunkan langkah perundangan, pentadbiran, kehakiman dan dasar berkesan bagi melarang serta mencegah tindakan penyeksaan atau penderaan,” ujar beliau.