Malaysia harap kerjasama ASEAN, Jepun diperkukuh

Azalina
Azalina
A
A
A

PUTRAJAYA - Malaysia berharap agar kerjasama yang lestari serta bermakna antara ASEAN dan Jepun dalam meningkatkan kedaulatan undang-undang, hak asasi manusia, dan juga kedaulatan negara rantau, dapat diperkukuhkan ke tahap lebih tinggi secara bersama.

Perkara itu dizahirkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dalam kenyataan pada Jumaat, selaku pengerusi bersama bagi Mesyuarat Khas ASEAN-Jepun yang dihoskan oleh Kementerian Kehakiman Jepun (MOJJ) di Tokyo, Jepun pada Khamis.

Mesyuarat itu dipengerusikan secara bersama oleh Malaysia dan Jepun.

Azalina berkata, perwakilan mesyuarat itu bersetuju untuk memperkukuhkan kerjasama antara negara ASEAN dan Jepun melalui komitmen bersama bagi mengekalkan keamanan, keselamatan, dan kestabilan di rantau ini melalui kerjasama bersama serantau dalam bidang perundangan dan kehakiman.

Perwakilan mesyuarat itu adalah dari Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand, Vietnam, Timor Leste dan Jepun.

Beliau berkata, perwakilan di mesyuarat itu juga memeterai beberapa komitmen penting dengan penumpuan khusus kepada dasar-dasar utama bagi mencapai Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menjelang 2030.

"Komitmen-komitmen ini termasuk mempromosikan kedaulatan undang-undang dan menghormati hak asasi manusia, yang penting untuk merealisasikan pembangunan lestari dan mewujudkan komuniti yang inklusif dan 'tiada sesiapa yang dipinggirkan'," katanya.

Beliau berkata, mesyuarat itu menyediakan ruang pertukaran ilmu dan pengalaman dalam bidang perundangan dan kehakiman, yang membawa kepada pemahaman lebih baik terhadap kesamaan dan perbezaan dalam sistem perundangan negara masing-masing.

Azalina berkata, kerajaan Madani komited dalam mengharmonikan institusi, perundangan, dan dasar SDGs melalui tumpuan khusus kepada Matlamat 16, dengan matlamat itu menyediakan keadilan bagi semua masyarakat berbilang kaum di Malaysia, sambil memberi keutamaan kepada perangkuman institusi, ketelusan, kecekapan dan akauntabiliti. - Bernama