Rakyat sedang susah, scammer makin ligat

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

TATKALA rakyat Malaysia berdepan cabaran dan tekanan dalam situasi ekonomi hari ini, sindiket penipuan atau scammer pula dilihat semakin menjadi-jadi mahu mengambil kesempatan mengaut duit orang ramai dengan cara mudah.

Pelbagai taktik dan modus operandi digunakan mereka untuk memperdayakan mangsa, seolah-olah tiada pemantauan atau sekatan terhadap jenayah itu.

Tak kira usia mahupun profesion, ramai yang sudah menjadi mangsa. Dalam sekelip mata, wang simpanan lesap ‘disakau’ scammer.

Kerugian mereka bukanlah sedikit, ada yang terpaksa berputih mata hingga beribu-ribu dan berjuta-juta ringgit.

Antara jenis penipuan yang sering dilaporkan ialah macau scam, love scam, scam pelaburan, phone scam, parcel scam, scam tawaran pekerjaan, scam pinjaman dan pelbagai lagi jenis scam.

Sehingga kini, kes jenayah penipuan dalam talian sangat membimbangkan. Sindiket sangat aktif menggunakan platform media sosial untuk mencari mangsa, malah semakin kreatif dengan pelbagai taktik baharu untuk menjerat mangsa.

Terbaharu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan modus operandi menerusi hantaran ‘jemputan majlis perkahwinan’ yang disebar melalui aplikasi WhatsApp.

Taktik tersebut meminta orang ramai untuk membuka pautan (link) yang disediakan bagi mendapatkan kad jemputan kahwin.

Namun itu adalah satu helah dan cara scammer untuk mencuri maklumat daripada orang ramai, seterusnya membuat pemindahan wang secara dalam talian.

Selain itu, PDRM turut mengesan taktik ‘culik’ pelajar sekolah dan minta wang tebusan. Sindiket ini turut menggunakan aplikasi WhatsApp dengan menyasarkan ibu bapa atau penjaga kononnya telah menculik anak mereka sebelum meminta wang tebusan.

Taktik demi taktik itu menunjukkan sindiket scammer di negara ini semakin berani dan berleluasa. Manakan tidak, jika 100 daripada 1,000 pengguna media sosial yang berjaya diperdayakan setiap hari, sudah cukup menguntungkan buat mereka.

Merujuk statistik Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC), sejumlah RM52.4 juta kerugian akibat sindiket penipuan dalam talian di Malaysia direkodkan sejak Oktober 2022 hingga Januari 2023.

Pengarah Bahagian Operasi Bersepadu Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), Md Zainizam Mat Jenu berkata, sepanjang tempoh itu pihak NSRC telah menerima 16,752 panggilan yang mana 6,277 daripadanya merupakan aduan berhubung kes penipuan atas talian.

Beliau turut mendedahkan, hasil laporan itu turut mendapati sebanyak 12,877 akaun bank disyaki sebagai keldai akaun.

Sementara itu, Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) mendedahkan, penipuan dalam talian membabitkan platform media sosial Facebook merekodkan sebanyak 744 kes, paling tertinggi yang dicatatkan sejak awal tahun ini sehingga 25 Mei lepas.

Berdasarkan laporan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Telegram mencatatkan sebanyak 17 kes, selain WhatsApp (16 kes), Instagram (tujuh kes) dan email (satu kes). Perkembangan teknologi canggih termasuk media sosial mendorong kepada trend peningkatan kes scammer di negara ini.

Situasi ini tidak boleh dipandang ringan. Sudah tiba masanya semua pihak mengambil tindakan serius agar jenayah scammer ini dibanteras.

Orang ramai perlu sentiasa waspada dan peka agar tidak menjadi mangsa. Jangan ambil mudah dalam setiap komunikasi atau transaksi yang berlangsung dalam talian.

Benar, aspek kesedaran orang ramai tentang kewujudan scammer dan modus operandi jenayah itu amat penting bagi melindungi 32 juta rakyat Malaysia daripada terus menjadi mangsa yang pastinya akan mendatangkan kerugian kepada negara.

Kerajaan menerusi kementerian serta pihak berkuasa perlu lebih agresif menggunakan segala kepakaran dan platform yang ada untuk menyekat segala ancaman scammer dalam bentuk informasi, iklan, promosi, mesej, video berkaitan penipuan dalam talian di platform media sosial.

Pihak berkuasa juga perlu meningkatkan kerjasama dengan institusi perbankan bagi mengenal pasti individu yang terlibat sebagai ‘keldai akaun’ yang menjadi dalang di sebalik jenayah scammer. Heret dan dakwa kesemua mereka di muka pengadilan!

Mungkin pindaan undang-undang serta hukuman lebih berat perlu digubal bagi menghentikan jenayah yang semakin ‘menggila’ ini.

* Arney Syema Anua ialah Editor Pengisian Sinar Harian

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!