Rumah mampu milik akan dibangunkan di Kampung Hajah Hasnah

Akmal Nasrullah ( tengah) pada sidang akhbar selepas lawatan kerja ke tapak projek Residensi Larkin Indah pada Khamis.
Akmal Nasrullah ( tengah) pada sidang akhbar selepas lawatan kerja ke tapak projek Residensi Larkin Indah pada Khamis.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Perancangan untuk membangunkan kawasan Kampung Dato' Hajah Hasnah Ahmad perlu mengutamakan kepentingan rakyat dan bukannya komersial.

Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, pembangunan rumah kos sederhana dilihat lebih sesuai untuk dibangunkan di kawasan berkenaan memandangkan Johor Bahru masih kekurangan rumah mampu milik.

"Saya sudah berbincang dengan Perbadanan Kemajuan Perumahan Johor (PKPJ) untuk rancangan Kampung Dato' Hajah Hasnah Ahmad dibangunkan sebagai kawasan rumah mampu milik sebaik isu perpindahan penduduk di situ, selesai.

"Di peringkat kementerian, kami sememangnya mahu memperbanyakkan lagi rumah mampu milik di bandar raya Johor Bahru. Bagaimanapun perkara tersebut perlu mendapat maklum balas dan diputuskan oleh kerajaan negeri," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja ke tapak projek Residensi Larkin Indah di sini, pada Khamis.

Ahli Parlimen Johor Bahru itu turut memberitahu Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) telah diarahkan untuk menyelesaikan isu tertunggak Pangsapuri Hajah Hasnah yang sepatutnya kediaman baharu kepada penduduk yang perlu berpindah.

"Saya akan terus berbincang dengan Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berhubung isu perpindahan penduduk di Kampung Dato' Hajah Hasnah Ahmad. Masih ada ruang untuk perbincangan dilakukan.

"Proses perpindahan penduduk sedang berjalan namun saya berpandangan dalam keadaan sekarang, semua pihak perlu berlaku adil kerana rundingan perpindahan penduduk ini sudah dibuat sejak 2016," katanya.

Pada 27 Jun lalu, Sinar Harian melaporkan Kira-kira 100 keluarga di Kampung Dato' Hajah Hasnah Ahmad buntu selepas diarahkan pejabat tanah untuk berpindah dan mengosongkan rumah masing-masing dalam masa terdekat bagi memberi laluan untuk projek pembangunan.

Penduduk mendakwa menerima notis pada 15 Mac lalu dan mempunyai tempoh 60 hari bagi mengosongkan tanah kerajaan itu selain perlu membuka sendiri rumah dan bangunan tambahan yang sudah dibina.

Selain itu, penduduk juga mahu perbincangan diadakan bersama pihak pejabat tanah termasuk pihak kerajaan negeri bagi mencari jalan penyelesaian terhadap isu yang dihadapi mereka.