'Saya bukan boneka sesiapa' - Anwar

Anwar - Foto Bernama
Anwar - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa beliau bukanlah boneka yang tunduk kepada DAP.

Sebaliknya, beliau berkata, parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan merupakan rakan sejawat penting dalam menjaga keharmonian.

"Saudara, yang PM (Perdana Menteri) saya, saya bukan boneka sesiapa.

"Umur akan cecah 76 tahun, saya tidak boleh dibeli dengan wang ringgit," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Buku Adab Perbezaan Pendapat Dalam Islam di Kompleks Islam Putrajaya, di sini pada Selasa.

Menurutnya, DAP tidak pernah membantah sebarang program yang dianjurkan untuk Melayu dan Islam sepanjang tujuh bulan beliau memimpin Kerajaan Persekutuan.

"Saya bukan hendak mempertahankan kawan- kawan DAP tetapi tidak sekali pun mereka pertikai program untuk Melayu, orang miskin dan Islam. Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali ada dalam mesyuarat Jemaah Menteri," katanya.

Beliau berkata, pemimpin terdahulu sepatutnya meletakkan kesalahan kepada diri sendiri kerana gagal meningkatkan ekonomi orang Melayu.

"Kalau kamu gagal, kamu pimpin puluhan tahun itu, salah kamu. Bukan penyokong kamu," ujar beliau.

Anwar berkata, sudah tiba masanya peluang terus diberikan kepada pimpinannya untuk mentadbir negara.

"Saya percaya kita akan mendapat mandat dan amanah supaya meneruskan agenda memartabatkan agama, bangsa dan negara," katanya.

Menurutnya, Kerajaan Madani pada hari ini akan meninggikan syiar selain memastikan penghayatan Islam lebih bermakna tanpa meminggirkan hak dan keadilan bukan Islam.

"Sebagai seorang muslim tentunya ada tanggungjawab tetapi saya juga tahu sebagai pemimpin akan pertahankan hak (Melayu, Islam)," katanya.

Dalam pada itu, Anwar bertekad tidak akan mengizinkan mana-mana menteri melakukan penyalahgunaan kuasa untuk mengambil hak rakyat.

"Selagi diberi diamanah sebagai pemimpin, saya tidak akan izinkan menteri-menteri melakukan amalan salah guna kuasa termasuk Menteri Kewangan dan Perdana Menteri.

"Yang lalu, biarlah lalu. Bila bercakap soal sejarah ramai yang terpalit, hendak mencari (seseorang) yang rekod bersih susah.

"Yang cakap bersih ramai tetapi yang menyakau terlalu ramai. Jadi saya akan gunakan kuasa ini," katanya.