Menelusuri 40 tahun penubuhan Bank Islam

Menara Bank Islam yang terletak di Kuala Lumpur terus memainkan peranan penting dalam industri perbankan Islam negara.
Menara Bank Islam yang terletak di Kuala Lumpur terus memainkan peranan penting dalam industri perbankan Islam negara.
A
A
A

Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) mula beroperasi di Kompleks Jemaah Haji di Subang, Selangor dengan hanya 30 kakitangan perintis pada 1 Julai 1983.

Penubuhannya merupakan satu lipatan sejarah baharu dalam industri perbankan negara ketika itu kerana ia merupakan bank patuh Syariah pertama di Malaysia.

Menerusinya, rakyat di negara ini mempunyai pilihan untuk mendapatkan produk dan kemudahan perbankan berlandaskan prinsip Islam berbanding perbankan konvensional yang telah lama bertapak.

Bank Islam kemudian berkembang dengan empat cawangan dibuka di Kuala Lumpur, Kuala Terengganu, Kota Bharu dan Alor Setar membabitkan 272 kakitangan.

Kini, Bank Islam berada di seluruh negara menerusi 135 cawangan yang disokong oleh lebih 4,700 warga kerja.

Bank Islam merupakan perintis industri perbankan Islam negara dan melaluinya, wujud bank-bank Islam lain sekitar tahun 1990-an yang kini menjadi pesaingnya.

Pada hari ini, terdapat 27 ahli institusi kewangan Islam di bawah Persatuan Perbankan dan Industri Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) yang merangkumi 12 bank domestik, empat institusi kewangan pembangunan, 10 bank asing yang diperbadankan di Malaysia dan sebuah bank digital.

Kini, industri kewangan Islam terus berkembang pesat dan menguasai hampir separuh daripada keseluruhan sektor perbankan negara.

Perkembangan itu dipacu oleh sokongan kawal selia terhadap ekosistem kewangan Islam serta perubahan selera pasaran yang menginginkan penyelesaian patuh Syariah.

Menurut satu ulasan Fitch Ratings pada Februari lalu, Malaysia merupakan pasaran perbankan Islam ketiga terbesar di dunia.

Malaysia juga menerajui pasaran sukuk dunia dengan kira-kira 64 peratus daripada terbitan sukuk tempatan belum lunas setakat akhir November 2022.

Bank Islam amat berbesar hati kerana mampu memainkan peranan penting dalam industri perbankan Islam negara, demikian kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed.

MOHD MUAZZAM
MOHD MUAZZAM

Ikuti cerita lanjut beliau yang ditemui Sinar Harian di Menara Bank Islam, Kuala Lumpur.

Sejak dari hari pertama Bank Islam, kami telah menginovasi tentang bagaimana untuk mewujudkan institusi kewangan Islam acuan sendiri yang kukuh berperanan dalam sistem kewangan negara.

Sehingga ke hari ini kami berpegang pada semangat inovasi itu, terus berusaha dan mengutamakan kehendak pelanggan supaya industri kewangan Islam terus berkembang.

Kami komited untuk mewujudkan nilai serta memberi kemakmuran kepada semua dengan merangka strategi perniagaan lima tahun yang dikenali sebagai LEAP25.

Teras LEAP25 adalah untuk menjadi peneraju dalam menawarkan penyelesaian kewangan patuh Syariah dan berdasarkan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) menjelang 2025.

Selain meneruskan kekuatan dalam bidang perbankan runcit, kami sedang mengorak langkah meneroka bidang-bidang baharu terutamanya perbankan institusi, digital, perusahaan kecil dan sederhana, pengurusan kekayaan dan kewangan sosial.

Pengukuhan struktur teknologi

Kami fokus untuk memantapkan infrastruktur teknologi dan mengetatkan lagi sistem keselamatan kewangan bagi memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.

Hari ini, teknologi merupakan satu trend mega kerana hampir segenap aspek kehidupan melibatkan penggunaan inovasi digital.

Kami sedang berusaha memperluaskan segmen pelanggan, khususnya untuk belia dan ekonomi gig atau usahawan muda dengan pelbagai tawaran yang berbeza daripada bank biasa.

Cara masyarakat kini menjana pendapatan sudah berubah. Tetapi, pada hari ini ramai anak muda bekerja sendiri memerlukan suntikan dana untuk perniagaan mereka.

Dengan rekod yang terhad, mencabar untuk mereka mendapatkan sokongan yang diperlukan oleh bank-bank biasa.

Kami di Bank Islam ingin menyantuni mereka yang layak dan menyediakan kemudahan yang diperlukan.

Menerusi bank digital natif awan (cloud-native) Be U, kami berhasrat untuk membuka peluang kepada usahawan gig mempertingkatkan perniagaan mereka.

Kami memperuntukkan RM250 juta sebagai modal untuk tahun 2023 bukan hanya untuk tujuan ini, malah ia termasuk menaik taraf infrastruktur teknologi maklumat dan kesemua saluran digital.Kami peka dan terus melangkah mencari inovasi baharu bagi memenuhi kehendak semasa dan masa depan. Kami juga memastikan warga kerja turut seiring dengan perubahan ini melalui usaha peningkatan kemahiran (upskilling) serta mengajar kemahiran baharu (reskilling) kepada mereka.

Automasi atau pendigitalan tidak bermakna kami menghadkan keperluan pekerja, sebaliknya membuka peluang kepada mereka meningkatkan ilmu dan kemampuan diri untuk berhadapan dengan cabaran semasa.

Mengarusperdanakan kewangan sosial

Bank Islam memulakan inisiatif kewangan sosial dengan melancarkan platform pendanaan awam, Sadaqa House, pada Januari 2018.

Menariknya, Sadaqa House juga merupakan ilham Pengarah Urusan pertama bank kami, Dato’ Dr Abdul Halim Ismail.

Menerusi platform ini, Bank Islam menjadi pemboleh pembangunan sosioekonomi rakyat dengan memanfaatkan instrumen-instrumen kewangan sosial Islam seperti wakaf, sedekah dan zakat demi kesejahteraan mereka yang layak.

Majlis pelancaran Bank Islam dilakukan oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad (dua dari kiri) pada 1 Julai 1983.
Majlis pelancaran Bank Islam dilakukan oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad (dua dari kiri) pada 1 Julai 1983.

Sehingga akhir 2022, Sadaqa House berupaya mengumpul dana bernilai lebih RM17 juta, yang mana lebih RM10 juta diagihkan kepada lebih 16,000 penerima termasuk 374 usahawan mikro (RM4.6 juta) di bawah program Pembiayaan Mikro iTEKAD BangKIT (iTEKAD BangKIT).

Bank Islam percaya bahawa peningkatan daripada keupayaan dan daya tahan perniagaan mikro bergantung bukan sahaja atas suntikan dana yang disediakan, tetapi juga pada pendekatan yang lebih komprehensif yang turut merangkumi latihan keusahawanan dan pengurusan kewangan kepada peserta.

Pada 27 Mei 2022, atas rasa tanggungjawab untuk menyantuni anak yatim, Bank Islam melancarkan Tabung Anak Yatim untuk menyediakan penyelesaian holistik daripada peringkat ‘buaian ke graduasi’ agar anak-anak ini berjaya dalam kehidupan. Sasaran jangka pendek Tabung ini adalah untuk menjaga lebih 10,000 anak yatim dan anak-anak asnaf dengan kerjasama rakan pelaksana terpilih dalam tempoh lima tahun akan datang.

Misi Bank Islam

Pelbagai pencapaian dan kejayaan telah kami raih hasil usaha gigih warga Bank Islam sepanjang 40 tahun kami di pasaran.

Kami sedar bahawa masih banyak yang perlu dilakukan dan akan memberikan yang terbaik bagi memastikan kesejahteraan pelanggan terus terpelihara.

Terima kasih atas kesetiaan semua pihak berkepentingan, terutamanya pelanggan dan pemegang saham Bank Islam, kerana segala rancangan dan pencapaian kami tentunya mustahil tanpa sokongan mereka.

Pencapaian Sadaqa House

• 19 Januari 2018 – Dilancarkan pada Karnival Kewangan Bank Negara Malaysia di Alor Setar, Kedah. • Januari 2020 - Menerima pengiktirafan antarabangsa - Anugerah Inisiatif Kewangan Sosial Terbaik daripada Cambridge International Financial Advisory di Anugerah Perbankan Peruncitan Islam 2019.

• 2021 - Menerima 2 anugerah:

1. Anugerah Cemerlang bagi Islamic Social Finance 2021 (IRBA)

2. Company of the Year for Outstanding Community Support 2021 (CSR Malaysia)

• 2022 – Pembiayaan mikro iTEKAD BangKIT telah terpilih sebagai fi nalis bagi The Impact Challenge Prize, The Royal Award for Islamic Finance oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan Bank Negara Malaysia di bawah Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (MIFC).

KEPIMPINAN BANK ISLAM

1. Dato’ Dr. Abdul Halim Ismail - Pengarah Urusan (1983 – 1994)

2. Dato’ Ahmad Tajudin Abdul Rahman - Pengarah Urusan (1 Mei 1994 – 30 Jun 2004)

3. Dato’ Noor Azman A. Aziz - Pengarah Urusan (1 April 2005 – Jun 2006)

4. Dato’ Sri Zukri Samat - Pengarah Urusan (9 Jun 2006 – Mei 2017)

5. Khairul Kamarudin - Ketua Pegawai Eksekutif (14 Jun 2017 – 20 Julai 2018)

6. Mohd Muazzam Mohamed - Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (Disember 2018 – sekarang)

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!