Lebih 90,000 individu ditahan kes dadah, racun

Antara pil dadah yang dirampas di sekitar Klang pada 31 Mei lalu.
Antara pil dadah yang dirampas di sekitar Klang pada 31 Mei lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 92,257 individu termasuk 287 penjawat awam ditahan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini atas pelbagai kesalahan melibatkan dadah.

Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din berkata, daripada jumlah itu 298 individu termasuk empat penjawat awam ditahan di bawah Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1985.

Beliau berkata, selebihnya ditahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Racun 1952 serta Akta Penagih Dadah (R&P) 1983, dan 38,064 kertas siasatan telah dibuka dengan 35,058 kes telah dituduh di mahkamah.

"Dalam tempoh itu juga 185 sindiket dadah berjaya ditumpaskan dengan lapan buah makmal dadah haram dibongkar melibatkan tangkapan enam ahli kimia.

"Bagi melumpuhkan sindiket pengedaran dadah ini, pelbagai aset sindiket dadah yang bernilai RM55.9 juta telah disita, manakala RM5.3 juta nilai harta telah dilucut hak,” katanya dalam kenyataan di laman rasmi Facebook JSJN malam ini.

Mohd Kamarudin berkata, JSJN juga telah merampas 10,016 kilogram (kg) pelbagai jenis dadah; 1,604 liter cecair pelbagai jenis dadah; 41,431 kg daun ketum; 27,213 liter air ketum dan 20 batang pokok ganja dianggarkan bernilai RM286 juta.

Beliau seterusnya menasihatkan orang ramai yang mempunyai maklumat aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah di kawasan mereka untuk menyalurkannya ke Hotline JSJN di talian 012-2087222. - Bernama