Vietnam haramkan filem Barbie

Filem Barbie, lakonan Margot Robbie dan Ryan Gosling pada asalnya dijadualkan untuk dibuka tayangan di Vietnam pada 21 Julai ini. - Foto Agensi
Filem Barbie, lakonan Margot Robbie dan Ryan Gosling pada asalnya dijadualkan untuk dibuka tayangan di Vietnam pada 21 Julai ini. - Foto Agensi
A
A
A

HANOI - Vietnam mengharamkan tayangan filem Barbie keluaran Warner Bros daripada edaran domestik, lapor media kerajaan pada Isnin.

Tindakan itu dibuat berikutan satu babak yang memaparkan peta menunjukkan wilayah dituntut secara unilateral oleh China di Laut China Selatan.

'Garisan sembilan sempang' berbentuk U digunakan pada peta China untuk menggambarkan tuntutannya ke atas kawasan luas di Laut China Selatan termasuk kawasan yang dianggap Vietnam sebagai pelantar benuanya, di mana ia memberikan konsesi minyak.

Barbie adalah filem terbaharu yang diharamkan di Vietnam kerana menggambarkan garisan sembilan sempang kontroversi China, yang disangkal dalam keputusan timbang tara antarabangsa oleh mahkamah di The Hague pada 2016.

Bagaimanapun, Beijing enggan mengiktiraf keputusan itu.

Vietnam dan China sudah lama mempunyai pertikaian tuntutan wilayah yang bertindih ke atas kawasan berpotensi kaya tenaga di Laut China Selatan.

Negara Asia Tenggara itu berulang kali menuduh kapal China melanggar kedaulatannya.

Pada 2014, bekas Perdana Menteri, Nguyen Tan Dung memaklumkan Vietnam mempertimbangkan tindakan undang-undang susulan pembinaan pelantar minyak China di perairan yang dituntut Hanoi hingga mencetuskan rusuhan anti-Beijing.

Pertikaian multilateral melibatkan Brunei, Malaysia, Filipina, Taiwan dan Vietnam itu menyaksikan Beijing menuntut hampir seluruh perairan kaya sumber di Laut China Selatan di mana ia turut membina pos tentera di pulau buatan.

Pada 2016 keputusan Mahkamah Tetap Timbang Tara di The Hague berpihak kepada Filipina yang mana ia membatalkan tuntutan China ke atas sebahagian besar perairan tersebut susulan kes difailkan Manila pada 2013.

Beijing bagaimanapun enggan menerima keputusan mahkamah antarabangsa itu yang mengesahkan hak Filipina ke atas rizab tenaga dalam kawasan Zon Ekonomi Ekslusif (EEZ). - Agensi

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!