DAP mahu jadikan Malaysia negara berbagai kaum, sekular - Tun M

Tun Mahathir bercakap dalam sidang akhbar khas di Hotel Sama-Sama KLIA pada Rabu. - Foto SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID.
Tun Mahathir bercakap dalam sidang akhbar khas di Hotel Sama-Sama KLIA pada Rabu. - Foto SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID.
A
A
A

SHAH ALAM - DAP didakwa mahu menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berbagai kaum dengan agama rasmi digantikan kepada sekular.

Pengerusi Proklamasi Orang Melayu (POM), Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terpaksa menurut manifesto DAP supaya parti itu tidak menarik diri daripada kerajaan hari ini.

"Ya. DAP cuma ada empat menteri (dalam Kabinet), tetapi dalam kerajaan terdapat ahli DAP. Jika DAP tarik diri, kerajaan Anwar akan jatuh.

"Sebab itu Anwar terpaksa turut manifesto DAP, khusus menjadikan Tanah Melayu negara berbagai kaum dan agama rasmi Islam diganti dengan negara sekular (iaitu) negara yang tidak ada agama rasmi.

"(Sekiranya berlaku) Maka tergugurlah keahlian Malaysia dalam OIC (Pertubuhan Kerjasama Islam)," katanya menerusi ciapan di laman Twitter pada selasa.

Sebelum ini Ketua Penerangan UMNO Bukit Gelugor, Mohd Huzaidi Mohd Hussin dilapor mengingatkan bekas Perdana Menteri itu untuk berhenti daripada memainkan sentimen melibatkan perkauman.

Tindakan veteran politik itu yang mendakwa DAP mempunyai pengaruh besar dalam pentadbiran Anwar seperti mempergunakan orang Melayu demi kepuasan sendiri.

Dalam pada itu Dr Mahathir turut mempersoalkan dakwaan kerajaan yang menyatakan Malaysia adalah negara demokratik dan mempunyai kebebasan bersuara.

Justeru beliau mempersoalkan sama ada tindakannya mempertahankan peruntukan dalam Perlembagaan Malaysia telah menyalahi undang-undang.

"Sebaliknya bertentangan Perlembagaan ialah mempromosi negara berbilang bangsa.

"Apakah kerajaan sekarang menolak 'The Rule of Law' termasuk Perlembagaan Malaysia yang tidak pernah sebut Malaysia sebagai negara berbilang kaum, sebaliknya menekankan Ke-Melayuan Malaysia," jelasnya.