Sentimen Pulau Pinang-Kedah, bukti DAP goyah

Laporan Sinar Harian. (Gambar kecil: Nor Azah)
Laporan Sinar Harian. (Gambar kecil: Nor Azah)
A
A
A

SHAH ALAM - Sentimen Pulau Pinang-Kedah yang dibangkitkan oleh Pengerusi DAP Kebangsaan, Lim Guan Eng baru-baru ini menunjukkan bahawa parti tersebut kini goyah dalam meraih sokongan di negeri tersebut.

Menurut Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Bukit Gelugor, Nor Azah Abdul Aziz, kenyataan Guan Eng itu seolah-olah membangkitkan satu pemahaman bahawa orang Melayu mahu merampas Pulau Pinang.

“Ini satu perkara yang sangat tidak masuk akal di mana tiada perkaitan politik perkauman dalam memperbetulkan semula sejarah yang dibuat oleh pihak British.

“Saya yakin, 1.8 juta rakyat Pulau Pinang, yang terdiri daripada pengundi Melayu, Cina dan India, tidak mahu memberikan satu undi untuk DAP.

“Sudah tiba masanya rakyat Pulau Pinang mengundi Perikatan Nasional (PN) sebagai satu referendum bantahan rakyat kepada Kerajaan Perpaduan PH (Pakatan Harapan)-UMNO kerana gagal mengurus negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Guan Eng baru-baru ini mengingatkan rakyat negeri tersebut supaya menjadikan Pilihan Raya Negeri (PRN) sebagai reaksi balas terhadap sikap sebenar Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Ia susulan kenyataannya untuk menuntut supaya Pulau Pinang dikembalikan kepada Kedah dengan imej perang dan ganas yang menyebabkan kegelisahan serta mengecewakan ramai rakyat Pulau Pinang.

Ujar Guan Eng, Sanusi didakwa menerusi satu kenyataan bahawa usaha menawan Pulau Pinang adalah sama dengan penaklukan Constantinople oleh umat Islam hampir 600 tahun lalu.

Sanusi bagaimanapun menjelaskan ia hanya satu kiasan semata-mata.