Gerakan Ekonomi Malaysia gesa henti projek PSI

Gerakan Ekonomi Malaysia gesa agar Projek PSI dibatalkan kerana meninggalkan kesan yang amat kritikal kepada sumber pendapatan dan masa depan nelayan.
Gerakan Ekonomi Malaysia gesa agar Projek PSI dibatalkan kerana meninggalkan kesan yang amat kritikal kepada sumber pendapatan dan masa depan nelayan.
A
A
A

GEORGETOWN - Gerakan Ekonomi Malaysia menggesa Kerajaan untuk memberhentikan projek Pulau Selatan Pulau Pinang (PSI) dan merangka dasar secara menyeluruh bagi memastikan nelayan dapat menjalani kehidupan selesa dengan pendapatan yang terjamin tanpa memerlukan sebarang bantuan daripada kerajaan.

Presidennya, Armin Baniaz Pahamin berkata, tanpa perancangan yang menyeluruh, nelayan akan sentiasa memerlukan bantuan.

Menurutnya, kerajaan perlu menyediakan satu dasar bagi memastikan masa depan nelayan terjamin tanpa perlu mengemis untuk bantuan.

"Faktor yang paling penting untuk kelestarian nelayan ialah tempat kawasan menangkap ikan. Kawasan menangkap ikan yang subur perlu digazet, dilindungi dan dipelihara. Perikanan adalah satu industri yang menguntungkan di negara-negara maju tetapi di Malaysia, nelayan tergolong dalam golongan miskin yang memerlukan bantuan.

"Salah satu cara ialah melalui penggabungan kampung-kampung nelayan di bawah pengurusan profesional, mengadaptasi teknologi terkini dan model bisnes bagi memastikan hasil tangkapan dapat menjamin pendapatan sepanjang tahun termasuk pada musim tengkujuh. Ini boleh dicapai melalui proses ikan dalam tin atau pembekuan ikan," katanya dalam satu kenyataan media pada Isnin.

Menurutnya, jumlah bantuan kepada nelayan akan terus meningkat tanpa solusi kepada masa depan keluarga mereka.

"Ini belum lagi kesan kepada alam semula jadi akibat daripada tambakan laut untuk melaksanakan Projek PSI. Malaysia memperuntukkan jumlah yang besar untuk pemberian subsidi dan elaun sara hidup kepada nelayan.

"Jumlah subsidi ini akan terus meningkat dan berterusan akibat daripada dasar Kerajaan yang tidak peka kepada keperluan nelayan. Pada tahun 2023 bantuan pukat kepada semua nelayan di Pulau Pinang meningkat daripada RM959,600 kepada RM1.614 juta pada 2022.

"Selain itu, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan pula memberi bantuan khas Aidilfitri sebanyak RM500 kepada 38,500 nelayan di seluruh negara. Kerajaan Persekutuan pula, melalui Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) memberi bantuan subsidi minyak, insentif tangkapan ikan, insurans nelayan dan perumahan nelayan," katanya.

Kata beliau, rancangan pembangunan Pulau Pinang khususnya pembangunan Projek PSI meninggalkan kesan yang amat kritikal kepada sumber pendapatan, masa depan nelayan serta menjejaskan bekalan ikan tempatan.

"Namun apa yang mengecewakan, tiada tindakan yang diambil oleh Kerajaan untuk menyediakan sumber pendapatan alternatif. Kenyataan dan pandangan yang dikeluarkan Ketua Unit Nelayan Sungai Batu, Zakaria Ismail perlu diambil serius kerana ia menjejaskan isu jaminan makanan dan alam sekitar.

"Unit Nelayan Sungai Batu bersama Persatuan Nelayan Pulau Pinang Selatan, Persatuan Nelayan Pulau Pinang (Pen Mutiara) dan Persatuan Nelayan Negeri Pulau Pinang membantah sekeras-kerasnya Projek PSI kerana kawasan terbabit menjadi satu-satunya punca dan sumber pendapatan nelayan di negeri itu," katanya.

Tambah Armin, hasil tangkapan ikan yang dijual melalui Persatuan Nelayan Pulau Pinang Selatan dari kawasan yang terbabit berjumlah RM6 juta setahun dengan tangkapan ikan melebihi 500 tan.

"Jumlah ini tidak termasuk hasil tangkapan nelayan dari Kedah Selatan dan Perak Utara di tempat kawasan menangkap ikan yang sama. Projek PSI bukan mengurangkan tetapi akan memusnahkan terus hasil tangkapan di Selatan Pulau Pinang.

"Ini akan menjejas isu jaminan makanan dan bekalan ikan kepada penduduk di Pulau Pinang, Kedah dan Perak. Lebih 6,000 nelayan akan kehilangan mata pencarian. Bekalan ikan akan terjejas di Pulau Pinang, Kedah, Perak dan jaminan makanan negara juga akan terancam," ujar beliau lagi.

Projek PSI yang sebelum ini dikenali sebagai Penang South Reclamation (PSR) adalah projek mega melibatkan tambakan bagi mewujudkan tiga pulau dengan keluasan 1,821 hektar di kawasan selatan Pulau Pinang.

Projek tersebut yang mula diperkenalkan pada 2015 merupakan modul pembiayaan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) bernilai RM46 bilion selepas SRS Konsortium dilantik sebagai PDP untuk PTMP pada 14 Ogos 2015.

Bagaimanapun, Kerajaan Pulau Pinang mengumumkan pembatalan bagi Pulau B dalam Projek PSI seperti mana yang diarahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 6 Mei lalu.

Selain Pulau B, keluasan Pulau A yang dinamakan sebagai Pulau Silikon turut dikecilkan iaitu daripada 1,821 hektar kepada 930.8 hektar selain Pulau C yang berkeluasan 323.7 hektar turut dibatalkan.

Pengurangan keluasan itu melibatkan 49 peratus daripada keseluruhan tiga pulau kepada satu buah pulau sahaja.