Israel larang imam Masjid Al-Aqsa ke luar negara sebulan

Syeikh Dr. Ekrima Sabri
Syeikh Dr. Ekrima Sabri
A
A
A

KUALA LUMPUR - Imam Masjid Al-Aqsa, Syeikh Dr. Ekrima Sabri dikenakan larangan perjalanan ke luar negara selama sebulan oleh rejim Israel atas dakwaan aktiviti-aktiviti yang dilakukan oleh beliau telah mendatangkan bahaya terhadap keselamatan Israel.

Menurut kenyataan Pejabat Guaman Syeikh Dr. Ekrima Sabri yang diterima Bernama melalui Whatsapp, larangan itu dikeluarkan oleh pihak Kementerian Dalam Negeri Israel pada Ahad dan diserahkan oleh pasukan perisik Israel yang menyerbu rumah beliau di Baitulmaqdis Timur.

Tempoh larangan itu kemungkinan boleh dilanjutkan.

"Pihak Israel mahu menghalang kebenaran daripada pengetahuan dunia tentang apa yang sebenarnya berlaku di Baitulmaqdis. Syeikh Ekrima Sabri tidak melakukan sebarang kesalahan yang boleh menyebabkan dia dilarang melakukan perjalanan, sebaliknya hanya menjalankan peranannya mewakili Masjid Al-Aqsa dan isu Baitulmaqdis,” katanya.

Larangan itu dibuat selepas kempen hasutan sistematik dan berbahaya yang dikenakan terhadap beliau sejak beberapa bulan kebelakangan ini, yang didalangi pihak kerajaan Israel.

Kenyataan itu juga menyeru negara-negara Arab dan Islam untuk mengambil tindakan menghentikan pendakwaan tidak adil dan pencabulan terhadap Syeikh Dr. Ekrima Sabri memandangkan status agama dan usia lanjutnya.

Sebelum ini, Syeikh Dr. Ekrima telah melakukan lawatan ke Malaysia untuk menyertai Persidangan Antarabangsa Palestin yang diadakan secara maya di Putrajaya, pada 17-18 Jun.

Dalam temu bual eksklusif bersama Bernama sempena lawatan itu, beliau menyeru umat Islam dari seluruh dunia untuk bersatu dan berpegang teguh dalam menyelesaikan isu Palestin yang sehingga kini masih belum menemui jalan penyelesaian. - Bernama