Tiada cadangan penyertaan swasta biaya kos projek KXP - MOT

Kementerian Pengangkutan
Kementerian Pengangkutan
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pengangkutan (MOT) memaklumkan tiada sebarang cadangan penyertaan swasta yang mampu membiayai kos projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) di bawah Pembangunan Kedah Aerotropolis.

MOT dalam satu kenyataan berkata, Konsultan National Airports Strategic Plan (NASP) telah meneliti Pelan Induk Utama Pembangunan Kedah Aerotropolis mengenai cadangan pembangunan KXP.

Menurutnya, hasil dapatan konsultan NASP tiada keperluan untuk sebuah lapangan terbang baharu dilaksanakan kerana fasiliti di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) masih mampu untuk mengendalikan permintaan perkhidmatan kargo dan penumpang.

“Berdasarkan dapatan NASP, sebanyak 92 peratus kargo yang dikendalikan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), manakala hanya 8 peratus sahaja kargo dikendalikan oleh perkhidmatan penerbangan penuh kargo (full fledged freighter).

“Data ini jelas menggambarkan bahawa kebergantungan KXP terhadap perkhidmatan penerbangan penuh kargo semata-mata tidak akan memberikan lonjakan besar untuk menjadi sebuah lapangan terbang kargo berdaya maju.

“KXP hanya boleh dipertimbangkan untuk dibina selepas LTAPP mencapai kapasiti maksimum 20 mppa yang diunjurkan pada tahun 2042,” katanya pada Sabtu.

Menurut MOT, unjuran kargo KXP yang dicadangkan didapati agak tinggi bagi sebuah lapangan terbang baharu berbanding dengan unjuran kargo di LTAPP merupakan sebuah lapangan terbang yang telah lama beroperasi dengan jaringan kesalinghubungan udara meluas.

Tambahnya, LTAPP masih mempunyai kapasiti yang mencukupi untuk mengendalikan sebarang peningkatan daripada segi pengendalian penumpang sehingga 20 mppa sehingga tahun 2042.

Ujarnya, Kedah wajar menjadikan lapangan terbang sedia ada iaitu Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH) atau LTAPP sebagai fasiliti yang menyokong pelaksanaan MRO Centre of Excellence (KAAMROCE) dan Sidam Logistic Aerospace Manufacturing (SLAM).

“Pihak MOT tiada halangan berhubung cadangan pelaksanaan KAAMROCE dan SLAM sebagai sebahagian daripada pembangunan bercampur di bawah pembangunan Kedah Aerotropolis,” katanya.