87 rumah terjejas akibat ribut

No Image Caption
A
A
A

KOTA TINGGI - Sekurang-kurangnya 87 buah rumah terjejas akibat kejadian ribut dan hujan batu di Felda Air Tawar 3 dan Kampung Baru Seluyut, di sini, petang semalam.

Pengerusi Hal Elwal Agama Islam, Pertanian dan Pembangunan negeri, Tosrin Jarvanthi berkata, daripada jumlah berkenaan, 21 rumah di Felda Air Tawar 3, dan sebuah lagi di Kampung Baru Seluyut rosak teruk dengan ranap di bahagian atap dan bumbung.

Beliau berkata susulan bencana itu, kerajaan negeri meluluskan peruntukan segera sebanyak RM150,000 bagi membantu mangsa terlibat.

"Semua mangsa diberikan bantuan awal dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah sebanyak RM300 bagi satu keluarga.

"Manakala bagi kerja baik pulih rumah terlibat, suka saya umumkan bahawa Menteri Besar bersetuju meluluskan peruntukan segera RM150,000 bagi kerja baikpulih rumah terlibat di dua kampung berkenaan," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke rumah-rumah mangsa yang terlibat hari ini.

Tosrin berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan akibat bencana itu, namun, seorang suri rumah Farahana Paidin, 29, yang hamil enam bulan, dari Kampung Baru Seluyut cendera ringan ditimpa serpihan atap yang menimpa bahagian belakang badannya.

Beliau sehubungan itu berharap semua ketua jabatan dapat bertindak segera menyalurkan bantuan agar mereka yang terlibat dengan kejadian itu dapat menyambut Ramadan dengan selesa. - Bernama

Artikel Berkaitan: