Badal haji: Mangsa penipuan dinasihat lapor polis

Mohd Nai'im (tiga dari kiri) bertemu dengan petugas di Pusat Rawatan TH di Makkah malam tadi.
Mohd Nai'im (tiga dari kiri) bertemu dengan petugas di Pusat Rawatan TH di Makkah malam tadi.
A
A
A

MAKKAH - Umat Islam yang telah menjadi mangsa penipuan badal haji dinasihatkan membuat laporan polis memandangkan kes berkenaan masih berlaku apabila tiba musim haji.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, sebelum ini juga sudah banyak peringatan diberikan kepada orang ramai agar berhati-hati dengan penipuan berkenaan namun masih ada yang menjadi mangsa.

“Sekali lagi diingatkan supaya selidik terlebih dahulu sebelum mengambil perkhidmatan badal haji ditawarkan individu atau syarikat yang tidak dilesenkan Lembaga Tabung Haji (TH).

“Jika bukan ditawarkan syarikat Pengelola Jemaah Haji (PJH) yang dilesenkan TH, mereka perlu siasat betul-betul supaya tidak tertipu. Kita tidak mahu badal haji menjadi 'bedal haji'," katanya.

Mohd Na’im berkata, rakyat Malaysia secara umum terkenal dengan 'lembut hati' dan mudah mempercayai orang lain, terutama apabila membabitkan urusan ibadah antara punca kes berkenaan masih berlaku.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu badal haji yang tular dalam media sosial, pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Pusat Rawatan TH di Makkah, malam tadi.

Ia susulan pendedahan video berdurasi 51 saat di Facebook pada Rabu yang memaparkan mengenai tindakan sekumpulan lelaki yang menggunakan khidmat ‘pelakon’ untuk menunjukkan bukti bahawa badal haji telah dilaksanakan.

Helaian kertas kononnya sebagai bukti ibadah itu dilakukan turut kelihatan bersepah di sekitar kawasan Jabal Rahmah, Makkah dibuang oleh kumpulan terbabit dengan tertera nama dari pelbagai negara termasuklah Malaysia.

Badal haji atau ganti haji bermaksud seseorang yang telah melakukan haji untuk dirinya boleh melaksanakan haji untuk orang lain sama ada yang telah meninggal dunia atau sakit yang tiada harapan sembuh untuk melakukan ibadah haji.

Sementara itu, Mohd Na’im berkata, seramai tujuh daripada 31,600 jemaah haji Malaysia tidak dapat menyempurnakan ibadah wukuf pada Selasa lepas kerana masalah kesihatan mental dan koma.

Mohd Na'im (kanan) bertanyakan tentang kesihatan seorang jemaah di Pusat Rawatan TH di Makkah.
Mohd Na'im (kanan) bertanyakan tentang kesihatan seorang jemaah di Pusat Rawatan TH di Makkah.

Katanya, empat pesakit yang menghadapi masalah kesihatan mental berada di Pusat Rawatan TH dan tiga yang koma berada di hospital Arab Saudi.

Beliau berkata, dua jemaah haji yang koma disebabkan serangan strok dan seorang lagi akibat radang paru-paru akan terus menerima rawatan di fasiliti kesihatan Arab Saudi sehingga doktor membenarkan mereka pulang ke tanah air.

Mengenai pergerakan semasa jemaah haji, beliau berkata, ketika ini mereka sedang berada di Mina, kira-kira 6 kilometer dari Makkah untuk melakukan ibadah melontar di tiga jamrah, iaitu fasa terakhir haji.