Telusuri makna Surah al-Insaan, al-Hajj melalui Arafah #QuranHour

Program Arafah #QuranHour yang berlangsung di Studio My#QuranHour Kumpulan Media KarangKraf. Foto SINAR HARIAN / MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH
Program Arafah #QuranHour yang berlangsung di Studio My#QuranHour Kumpulan Media KarangKraf. Foto SINAR HARIAN / MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH
A
A
A

SHAH ALAM - Bertemakan Syukur Membina Takwa, Arafah #QuranHour 1444H/2023, gerakan yang membina sistem nilai melalui al-Quran dan Sunnah dengan solidariti yang dilaksanakan bermula dari Arafah ke seluruh dunia.

Dua Surah utama, Surah al-Insaan dan Surah al-Hajj diangkat dan mengandungi pelbagai pengajaran serta pesan menarik mengajak manusia untuk sujud selain bersyukur kepada ALLAH SWT.

Pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi yang dipilih sebagai pentadabbur berkata, perhimpunan Hari Arafah adalah sesi peringatan untuk manusia kembali kepada ALLAH SWT seperti mana dihimpunkan di padang Mahsyar.

“Nanti pada Hari Arafah, kita akan berhimpun seperti mana dibangkitkan semula di padang Mahsyar.

“Saat itu manusia berada dalam keadaan menangis, sebagaimana kita menangis di padang Mahsyar, seperti itulah kita menangis pada Hari Arafah,” katanya.

Menyingkap lima ayat pertama di dalam surah berkenaan, beliau menjelaskan pengisian surah berkenaan mendidik jiwa manusia agar sentiasa bersyukur dan jauhi elemen kekufuran selain berusaha memenuhi sifat al-Abrar bagi mencapai Haji Mabrur.

Program Arafah #QuranHour 1444H/2023 itu dihadiri Penasihat Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub; Pentadabbur, Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) Fazrul Ismail; Qari, Fariz Hadi Taufik; Naib Johan Majlis Tilawah al-Quran Selangor 2023, Syeikh Rami As-Sousi dari Palestin dan Lutfil Hadi selaku hos program tersebut.

Dalam pada itu, Fazrul berkata, pengisian daripada Surah al-Insaan menekankan syukur dan kufur yakni dua jalan diberikan sama ada manusia memilih menjadi golongan yang abrar atau kufur kepada ALLAH SWT.

“Manusia perlu berusaha mendekati Tuhan, memohon keampunan dosa kini dan akan datang serta menjadi insan yang bersungguh-sungguh menuju ke jalan ALLAH SWT,” katanya dalam siaran langsung pada Rabu.

Beliau turut berkata, walaupun terdapat umat Islam seluruh dunia yang belum berpeluang menjejaki tanah suci Makkah bagi menunaikan haji khususnya di padang Arafah, pastinya suatu hari nanti akan sampai ke padang Mahsyar.

Memetik potongan ayat 29 daripada Surah al-Hajj, beliau menjelaskan perkara menyempurnakan ibadah atau sesuatu yang diwajibkan adalah bukti ketaatan seorang hamba kepadaNya.

“Dalam proses kembali kepada ALLAH SWT, buangkan segala kotoran, tunaikan janji-janji dan pastikan kita ada niat untuk bertawaf di Baitul Atiq.

“Ia sejajar dengan perkara yang dibuat para malaikat, menunjukkan wijhah kita hanyalah kepadaNya,” ujarnya.

Program itu turut memberi laluan kepada Hussamuddin dengan pengisian Pesan Tokoh mengenai perjalanan hidup beliau daripada pengalaman menunaikan haji, alam perkahwinan sehinggalah penubuhan Kumpulan Media Karangkraf.

Menyentuh isu menubuhkan syarikat, dalam nada sebak, beliau berkata bahawa rezeki yang diberi haruslah digunakan untuk tujuan dakwah kerana merasakan besarnya memikul tanggungjawab.

“Rezeki harus digunakan untuk dakwah, pastikan kita jalankan tanggungjawab supaya hasilnya berkat.

“Rakyat harus amanah, politikus wajib bertanggungjawab dan pemimpin perlu uruskan syarikat, parti, negeri atau negara dengan betul supaya kita boleh jawab pertanyaanNya apabila dihimpunkan di Padang Mahsyar kelak,” ujar beliau.

Mengakhiri ucapannya, beliau turut menasihati semua pemimpin negara agar kembali ke jalan yang benar dan bertanggungjawab waima sudah melakukan umrah atau haji selama berpuluh tahun.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!