Kontroversi sentimen agama dimainkan menjelang PRN

Laporan Sinar Harian sebelum ini.
Laporan Sinar Harian sebelum ini.
A
A
A

SEKALI lagi kontroversi sentimen agama mula dimainkan menjelang Pilihan Raya Negeri apabila bekas Timbalan Ketua Dewan Ulamak Pas Kedah, Syeikh Zainul Asri Mohd didakwa telah terkhilaf dalam ucapan menyebut berkenaan ‘musuh Allah’.

Dalam ucapannya, Syeikh Zainul Asri menyatakan semoga Allah mempertahankan Kedah daripada jatuh ke tangan musuh Allah.

Bagaimanapun, beliau telah membuat permohonan maaf berhubung ucapannya semasa Himpunan Kedah Berselawat, Sabtu lalu.

Katanya, meskipun ucapan tersebut tidak ditujukan kepada mana-mana pihak, namun ia telah disalah tafsir.

Susulan itu, ramai pemimpin politik menyuarakan pandangan mereka berhubung isu berkenaan selain menganggap ia dilihat boleh menyemai perasaan benci dan ekstremisme kepada rakyat.

Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu menyatakan mana-mana parti politik diingatkan agar mengelak daripada terlibat dalam ideologi ekstrem ketika meraih sokongan pengundi menjelang PRN di enam negeri.

Mohamad mengingatkan masyarakat agar menolak fahaman seperti takfiri yang dibimbangi boleh mengancam keamanan dan kestabilan negara.

Menurutnya, peringatan itu dibuat ekoran terdapat kecenderungan pemimpin pembangkang tertentu yang melabel orang Islam lain yang tidak sehaluan ideologi politik sebagai kafir atau musuh Islam.

Sementara itu, Setiausaha Eksekutif Majlis Ulama UMNO, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali pula berkata, Pas tidak boleh mengeluarkan fatwa untuk mewajibkan rakyat menyokong mereka atas keyakinan palsu bahawa parti tersebut satu-satunya yang memperjuangkan Islam.

Beliau menegaskan, ia juga merupakan punca berlakunya keganasan antara pendukung parti ketika pilihan raya.

Melihat senario seperti ini sudah tentu menimbulkan kerisauan kerana ia boleh mempengaruhi seseorang untuk cenderung membawa kepada ekstremis agama.

Justeru, sudah tiba masanya mana-mana pemimpin sewajarnya berpolitik secara matang tanpa menyentuh sensitiviti agama.

Mereka perlu memfokuskan isu melibatkan kebajikan dan kepentingan rakyat berbanding menggunakan sentimen agama sebagai modal politik semasa PRN nanti.

Penggunaan perkataan terlalu ekstrem perlu dielakkan semasa PRN supaya menjaga keharmonian negara sekali gus mengelakkan perbalahan sesama masyarakat.