Adiwira cilik penentang rasuah

Ahmad Muaz (dua dari kiri) mewakili SK Tanah Puteh, Pahang antara adiwira cilik penentang rasuah.
Ahmad Muaz (dua dari kiri) mewakili SK Tanah Puteh, Pahang antara adiwira cilik penentang rasuah.
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai 10 pelajar dinobatkan sebagai pembentang terbaik Program Bicara Cilik Rasuah Busters Peringkat Kebangsaan Tahun 2023 yang berlangsung Sabtu lalu.

Lima murid, Hadif Rayyan Hazri dari Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Kuda, Klang, Selangor; Nur Haziqah Azhar Hisyam yang mewakili SK Matang Gerdu, Bagan Serai, Perak; Nurul Adriana Safura Mohammad Zairi dari SK Si Rusa, Port Dickson, Negeri Sembilan; Ahmad Muaz Azurahisham mewakili SK Tanah Puteh, Pahang dan Khyra Dania Khairyna Mohd Hazwan dari SK Permatang Tok Dik, Padang Serai, Kedah dipilih sebagai Pembentang Terbaik Kategori Sekolah Rendah.

Sementara itu, lima pelajar iaitu Nurul Najwa Ahmad Jalani dari SMK Maran, Pahang; Muhammad Nor Hafizie Amir SMK (Felda) Seri Sendayan, Seremban, Negeri Sembilan; Nur Juita Batrisyia Mohd Faisal yang mewakili SMK Seri Panching, Kuantan, Pahang; Nurul Yasmin Irdina Maslizi, pelajar Sekolah Menengah Agama Marang, Terengganu dan Muhammad Ariq Erinoor Enche Guri dari SMK Kampung Nangka, Sibu, Sarawak pula mengungguli kategori Sekolah Menengah.

Anugerah Khas Rasuah Busters Kategori Sekolah turut diberikan kepada SK Kuamut, Kinabatangan, Sabah dan SK Kampung Baharu, Jerantut, Pahang.

Kategori Guru pula dimenangi Norafizah Abdul Razak dari SK Kampung Baharu, Jerantut, Pahang dan Muhammad Najib Mohd Jamil dari SK Kuamut, Kinabatangan, Sabah.

Nur Juita Batrisyia dipilih sebagai penerima Anugerah Khas Juri.
Nur Juita Batrisyia dipilih sebagai penerima Anugerah Khas Juri.

Dalam pada itu, pelajar SMK Seri Panching, Kuantan, Pahang, Nur Juita Batrisyia Mohd Faizal dipilih sebagai penerima Anugerah Khas Juri.

Mengulas mengenai Program Bicara Cilik Rasuah Busters, Profesor Madya Dr Mohamed Ali Haniffa berkata, usaha murni itu seharusnya diperluaskan dan melibatkan komponen semua jenis aliran persekolahan.

Beliau yang juga ketua juri dari Unit Sejarah dan Kenegaraan Malaysia, Jabatan Tamadun dan Falsafah, Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah, Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata, impak positif dan jangka panjang kepada pembinaan karakter pelajar juga dapat diberikan.

“Di pihak universiti, program berupa jaringan kerjasama dapat menyalurkan input bermanfaat kepada perkongsian idea secara keseluruhannya. Institusi kekeluargaan dan pendidikan merupakan platform awal terbaik bagi menyemai sikap dan budaya bencikan rasuah,” katanya.

Justeru katanya, inisiatif seumpama itu perlu dilaksanakan secara berterusan dan menyeluruh bagi melahirkan generasi yang mempunyai jati diri kental.

Tahniah kepada pemenang.
Tahniah kepada pemenang.

Bicara Cilik Rasuah Busters dianjurkan secara berkolaboratif oleh Pusat Sumber Sekolah Kebangsaan Kg Baharu Jerantut, Pahang bersama Rasuah Busters dan Grup Buku Karangkraf.

Urusetia program di bawah kepimpinan Noraini A Malek bersama Penyelaras Program, Norafizah Abdul Razak berjaya menghimpunkan 19 sekolah rendah dan sembilan sekolah menengah dari seluruh negara untuk menyertainya dengan 58 pembentang cilik terlibat, manakala 92 pendidik pula menjadi tulang belakang.

Program disiarkan secara langsung di Facebook dan TikTok Sinar Bestari, Rasuah Busters, Astro Awani, Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4), Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).