Bayi perlu bantuan RM80,000 jalani pembedahan jantung

Mohammad Rizqi memerlukan dana sebanyak RM80,000 untuk pembedahan pada jantungnya yang mengalami kecacatan.
Mohammad Rizqi memerlukan dana sebanyak RM80,000 untuk pembedahan pada jantungnya yang mengalami kecacatan.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Seorang bayi lelaki berusia dua bulan memerlukan dana sebanyak RM80,000 bagi menjalani pembedahan jantung dengan segera.

Mohammad Rizqi Ramadhan Mohammad Hafiz memerlukan dana tersebut daripada bantuan orang ramai untuk pembedahan pada jantungnya yang mengalami kecacatan.

Hasil pemeriksaan mendapati, Rizqi menghadapi masalah jantung Kecacatan Septum Atrium (ASD) dan Aorto-pulmonary Window (APW).

Pengerusi One Hope Charity & Welfare, Datuk Chua Sui Hau berkata, pihaknya akan membantu mengutip dana sebanyak RM80,000 untuk bayi tersebut bagi membolehkan pembedahan dijalankan segera.

Menurutnya, bantuan orang awam amat diperlukan berikutan doktor memaklumkan bahawa Rizqi mempunyai peluang untuk diselamatkan.

"Pembedahan segera amat penting bagi mengelakkan kemerosotan organ lain dan jangkitan kuman pada paru-parunya.

"Doktor memberitahu bahawa Rizqi mempunyai peluang untuk diselamatkan, maka ibu bapanya merayu orang awam untuk membantu bayi mereka ini," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Tambah beliau, bayi dari Kubang Semang itu dilahirkan dalam keadaan pramatang pada usia kandungan 33 minggu.

“Selepas dilahirkan, kandungan oksigen dalam darahnya merosot dan mengakibatkan Rizqi mengalami sindrom bayi biru (cyanosis) sebelum disahkan mengalami kecacatan jantung.

“Kini badannya penuh dengan peralatan perubatan di unit rawatan rapi neonatal (NICU) dan Rizqi diberi minum susu melalui tiub. Sehingga kini, ibu bapanya belum ada peluang untuk mendukung dan mencium Rizqi buat kali pertama kerana masih dirawat," katanya.

Beliau berkata, Rizqi yang dilahirkan dengan berat badan 1.88 kilogram (kg) bagaimanapun terpaksa ditempatkan di inkubutor bayi sampai tempoh matang.

"Ibu bapa Rizqi sebelum ini telah membuat persiapan rapi untuk menyambut anak sulung mereka di kampung halaman bapanya di Baling, Kedah setelah pemeriksaan di klinik mendapati kandungan ibunya normal.

"Bagaimanapun, dia terpaksa ditempatkan di inkubutor sehingga tempoh matang. Selepas sebulan di inkubutor, doktor mendapati kandungan oksigen dalam badannya merosot dengan mendadak dan mempunyai sindrom bayi biru sebelum dihantar ke Hospital Pulau Pinang," katanya.

Sui Hau menambah, ketika ini, Rizqi hanya mempunyai berat badan 2.32 kg dan masih bernafas dengan mesin bantuan pernafasan.

"Bapa bayi iaitu Mohammad Hafiz Mohammad Abdul Ghani berusia 40 tahun merupakan operator kilang dengan gaji pokok RM1,500 sebulan, manakala ibunya, Nurul Hayati Hasan Azhari hanya suri rumah.

"Kedua-dua mereka buntu kerana kos pembedahan yang tinggi dan telah memohon bantuan daripada One Hope Charity & Welfare untuk mengumpul dana pembedahan anak mereka,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan derma untuk membantu Rizqi boleh menghubungi One Hope Charity & Welfare menerusi talian 016-4192192, 04-539 9212, 018-9114192 atau melayari https://www.onehopecharity.org untuk maklumat lanjut.

Selain itu, orang ramai juga boleh menderma ke ONE HOPE CHARITY (PBB-3193433435).

Kesemua sumbangan atau derma bernilai RM50 ke atas akan mendapat resit pengecualian cukai.