Sarjan tak mengaku terima rasuah RM1,000

Tertuduh diiring SPRM di Mahkamah Sesyen pada Selasa.
Tertuduh diiring SPRM di Mahkamah Sesyen pada Selasa.
A
A
A

SEREMBAN - Seorang anggota polis berpangkat sarjan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM1,000 daripada suspek yang sedang disiasat, dua tahun lalu.

Tertuduh, Mohamad Khairol Fazli Mohd Azali, 33, yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rushan Lutfi Mohamed.

Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai sarjan Polis Diraja Malaysia (PDRM) didakwa bersetuju terima wang untuk dirinya sebanyak RM1,000 tanpa balasan daripada seorang lelaki yang mana tertuduh mengetahui bahawa lelaki itu dan rakannya adalah suspek dalam kes yang sedang disiasat olehnya.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah gerai di Pekan Lukut, Port Dickson pada jam 5 petang, 9 Disember 2021.

Berikutan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan, Mohammad Azriff Firdaus Mohammad Ali menawarkan jaminan RM10,000 kepada tertuduh.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon jaminan yang rendah atas alasan tiada wang perbelanjaan rumah selain mempunyai dua orang anak yang masih kecil.

"Seorang anak saya masih sekolah, manakala seorang lagi menerima rawatan masalah 'speech delay' (lambat bertutur)," katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan perlu melapor diri di Pejabat SPRM Port Dickson sekali sebulan sehingga kes selesai.

Kes akan disebut semula 28 Julai depan untuk serahan dokumen.