Lelaki maut tersepit, treler jatuh gaung 10 meter

Seorang lelaki maut akibat tersepit dalam treler yang terbabas ke dalam gaung sedalam kira-kira 10 meter di KM43 Lebuhraya Karak-Bukit Tinggi pada Selasa. - Foto ihsan JBPM
Seorang lelaki maut akibat tersepit dalam treler yang terbabas ke dalam gaung sedalam kira-kira 10 meter di KM43 Lebuhraya Karak-Bukit Tinggi pada Selasa. - Foto ihsan JBPM
A
A
A

BENTONG - [DIKEMASKINI] Seorang pemandu maut manakala isteri dan anaknya cedera ringan selepas kenderaan dinaiki mereka terbabas lalu terjunam ke dalam gaung di Kilometer (KM) 43.3 Lebuhraya Karak-Kuala Lumpur, pada Selasa.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, mangsa, Mohamad Hasrul Abdul Halim,33, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar memberitahu, kejadian melibatkan sebuah treler yang membawa muatan pasir putih.

"Dipercayai treler yang dipandu dari Taiping, Perak menghala ke Terengganu telah hilang kawalan apabila sampai di kawasan selekoh menyebabkan kenderaan itu melanggar penghadang jalan lalu terjunam ke dalam gaung.

"Pemandu meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah dan tersepit di bahagian hadapan manakala isteri, 4, serta anak lelaki mereka berusia lima tahun hanya cedera ringan dan menerima rawatan di Hospital Bentong," kata beliau dalam kenyataan pada Selasa.

Ujar beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 menyebabkan kematian kerana memandu secara melulu dan berbahaya.

Dalam pada itu, beliau memohon kerjasama orang ramai melihat kejadian tersebut untuk tampil bagi membantu siasatan.

"Kita juga ingin menasihati semua pengguna agar sentiasa memandu kenderaan secara berhati-hati dan berhemah terutamanya di KM40 hingga KM45 di lebuhraya tersebut serta memastikan kenderaan yang dipandu diselenggara dengan baik," tambah Zaiham.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian tersebut pada jam 3.45 pagi.

"Seramai 15 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bentong bersama jentera dikerahkan ke tempat kejadian.

"Pasukan bomba menjalankan operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit di bahagian pemandu selepas trelernya terbabas ke dalam gaung setinggi kira-kira 10 meter menggunakan peralatan hidraulik dan tali," katanya.

Ujar beliau, mangsa berjaya dikeluarkan pada jam 6.44 pagi dan seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.