Mukhriz: Tidak mustahil tanam padi waktu malam

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir yang juga Pengerusi MADA membawa jentera menabur padi pada Program Jom Turun Bendang MADA di Jalan Pulau Bunting, Kampung Sungai Kering Dulang hari ini. - FOTO BERNAMA
A
A

YAN - Cadangan supaya para petani menjalankan aktiviti tanaman padi waktu malam dalam usaha membantu mempermudah dan meringankan kerja mereka adalah sesuatu yang tidak mustahil kerana amalan itu pernah dilakukan pada masa dahulu.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata bagi sesetengah rakyat mungkin ada yang merasakan bahawa cadangan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu sebagai luar biasa dan tidak masuk akal, namun ia sebenarnya bukanlah perkara baru.

"Saya masih ingat lagi zaman kecil dulu di Tokai, Pendang ada orang pasang lampu gasolin untuk buat kerja pada sebelah malam. Dia (Tun Dr Mahathir) orang lama jadi dia masih ingat benda itu.

"Bagi saya, cadangan itu bukan pelik dan mungkin ia boleh dipertimbangkan kalau ada kebaikan dan beri manfaat kepada golongan terlibat. Lagi-lagi bila hendak elak cuaca panas macam sekarang ini," katanya selepas merasmikan Program Jom Turun Bendang Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di sini hari ini.

Beliau, yang juga Pengerusi MADA berkata, walaupun kos tanaman padi mungkin bertambah kerana perlu memasang lampu, namun ada kelebihan lain yang boleh diperoleh dan cadangan itu boleh dipertimbangkan.

"Kalau nak kira dari segi kos, dulu pun makan kos tapi hasil okay sahaja, jadi kalau semua dipertimbangkan ia dapat diseimbangkan balik. Bagi MADA kita akan tengok keadaan semasa dahulu macam mana dan kalau hendak buat pun belum tentu dalam skala yang besar," katanya.

Sementara itu, dalam ucapan perasmiannya Mukhriz berkata, kerajaan negeri memberi jaminan akan terus mempertahankan status Kedah sebagai 'Negeri Pertanian' walaupun pada masa ini terdapat perebutan tanah bagi tujuan pembangunan industri, perumahan, kawasan tadahan dan hutan simpan.

"Kedah adalah pengeluar padi terbesar di Malaysia dan hasil dari kawasan MADA seluas 100,685 hektar yang diusahakan oleh 57,635 petani ini mampu menyumbang kepada 40 peratus dari pengeluaran padi negara.

"Kita sedang merangka pelan-pelan khusus untuk melonjak pertumbuhan sektor pertanian supaya ia terus berkembang seiring dengan perubahan teknologi dan sains masa kini.

“Kita akan menggalakkan penggunaan teknologi terkini dalam penanaman padi bagi meningkatkan hasil padi pada kos yang menguntungkan," katanya. - Bernama