Dasar pendidikan negara perlu dirombak - Maszlee

Maszlee (duduk, empat dari kanan) bersama peserta yang hadir pada Persidangan Meja Bulat: Fenomena Keciciran Pelajar Lepasan SPM di IAIS.
Maszlee (duduk, empat dari kanan) bersama peserta yang hadir pada Persidangan Meja Bulat: Fenomena Keciciran Pelajar Lepasan SPM di IAIS.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sistem pendidikan negara perlu dirombak terutama selepas terkesan akibat pandemik Covid-19.

Pengerusi Institut Pengajian Islam Lanjutan Antarabangsa (IAIS), Dr Maszlee Malik berkata, perkara tersebut perlu diakui oleh semua pihak ekoran kadar keciciran dan kegagalan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dilaporkan tinggi.

“Isu yang perlu diakui adalah jumlah yang tinggi dalam keciciran pelajaran dan kedua, sistem pendidikan di Malaysia memerlukan rombakan besar-besaran selepas Covid-19.

“Kita perlu sedar bahawa keadaan ekonomi juga memberi kesan terhadap sistem pendidikan, maka ia memerlukan perubahan radikal berdasarkan titah Yang di-Pertuan Agong pada ketika pembukaan Parlimen iaitu penglibatan semua pihak untuk merangka pelan jangka masa panjang.

“Walau bagaimanapun, kita sudah ada ‘blue print’ sebelum ini yang mana ia boleh dijadikan rujukan tetapi perlu dinilai semula sejauh mana keberkesanannya kerana ia akan berakhir pada 2025,” katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan Persidangan Meja Bulat: Fenomena Keciciran Pelajar Lepasan SPM di IAIS pada Isnin.

Maszlee (dua dari kanan) ketika mempengerusikan Persidangan Meja Bulat: Fenomena Keciciran Pelajar Lepasan SPM di IAIS pada Isnin.
Maszlee (dua dari kanan) ketika mempengerusikan Persidangan Meja Bulat: Fenomena Keciciran Pelajar Lepasan SPM di IAIS pada Isnin.

Dalam pada itu, Maszlee menjelaskan, kerajaan sudah mempunyai Model Pendidikan Baharu (NEM) yang dirangka pada 2019 menerusi Laporan Jawatankuasa Kajian Dasar Pendidikan Negara dan boleh dijadikan panduan untuk melakar dasar pendidikan pasca Covid-19.

Justeru bekas Menteri Pendidikan itu berkata, kerajaan menerusi pelbagai kementerian, agensi berkaitan pendidikan serta pihak industri perlu berganding bahu menjayakan model berkenaan.

“Perubahan ini bukan perkara baharu kerana negara luar telah menunjukkan setelah Covid-19, kebanyakan daripada mereka telah melakukan perubahan radikal terhadap dasar pendidikan negara masing-masing.

“Ia perlu dilakukan segera kerana kita tidak mahu persepsi industri terhadap kualiti graduan dan pelajar begitu negatif kerana selepas pandemik, kita tidak melakukan apa-apa perubahan,” katanya.

Sementara itu, persidangan meja bulat berkenaan menggariskan beberapa resolusi yang perlu diberi perhatian antaranya reka bentuk sistem pendidikan perlu dilakukan berdasarkan keperluan golongan rentan.

Selain itu model pembangunan berasaskan kebajikan boleh diterapkan untuk menyokong kerangka pendidikan secara keseluruhan bagi menghindari kesan negatif merentas generasi yang lahir dari masalah keciciran pelajaran.