Wanita warga Thailand maut nahas tiga kenderaan

Keadaan dua daripada tiga kenderaan yang terlibat kemalangan. - Foto BBP Mersing
Keadaan dua daripada tiga kenderaan yang terlibat kemalangan. - Foto BBP Mersing
A
A
A

MERSING - [DIKEMAS KINI] Seorang wanita warganegara Thailand maut dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Kilometer (KM) 14, Jalan Jemaluang di sini pada awal pagi Isnin.

Kemalangan melibatkan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis BMW X5, sebuah kereta jenis Perodua Myvi dan sebuah kereta jenis Mitsubishi.

Ketua Polis Daerah Mersing, Superintenden Abdul Razak Abdullah Sani berkata, polis menerima maklumat mengenai kemalangan berkenaan sekitar jam 3.30 pagi.

“Siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila BMW X5 yang dipandu seorang lelaki warga tempatan berumur 32 tahun dari arah Mersing telah hilang kawalan sewaktu melalui jalan berselekoh lalu memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan dua kenderaan jenis Perodua Myvi dan Mitsubishi Grandis yang datang dari arah Johor Bharu.

“Akibat kemalangan ini, seorang penumpang Mitsubishi Grandis iaitu wanita warganegara Thailand berusia 22 tahun meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di bahagian muka.

“Seorang lagi penumpang Misubishi Grandis iaitu seorang lelaki tempatan patah tangan manakala keseluruhan 13 mangsa lain hanya mengalami cedera ringan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, pemandu BMW X5 telah dirakamkan keterangan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

"Hasil ujian air kencing didapati negatif.

"Kes disiasat di bawah Sek.41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Sementara itu, menurut Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mersing, Pegawai Bomba Kanan II Anuar Hussin, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Negeri Johor menerima panggilan kecemasan kemalangan jalan raya melalui talian MERS999 sekitar jam 2.59 pagi.

"Setibanya pasukan bomba di tempat kejadian didapati kemalangan jalan raya melibatkan sebuah kenderaan jenis BMW, sebuah kereta jenis Perodua Myvi dan sebuah kereta jenis Mitsubishi.

"Terdapat 16 mangsa terdiri daripada 10 lelaki, dua wanita dan tiga kanak-kanak perempuan sementara seorang lagi mangsa dari kereta jenis Mitsubishi telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Kesemua mangsa yang cedera telah dihantar ke Hospital Mersing dengan menaiki ambulans milik KKM sementara mangsa yang meninggal dunia telah diserahkan kepada pihak tindakan lanjut,” katanya.