Sasar peningkatan 10 peratus nelayan terlibat perniagaan hiliran

Muhammad Faiz (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan peralatan menangkap ikan kepada penerima, Awang Mat Sulaiman (tiga dari kanan).
Muhammad Faiz (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan peralatan menangkap ikan kepada penerima, Awang Mat Sulaiman (tiga dari kanan).
A
A
A

BACHOK - Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) menyasarkan peningkatan 10 peratus nelayan di seluruh negara bagi menceburi perniagaan hiliran dalam tempoh setahun.

Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil berkata, pemerkasaan itu bagi memastikan lebih ramai nelayan dapat keluar dari kepompong B40.

MUHAMMAD FAIZ
MUHAMMAD FAIZ

Menurut beliau, setakat ini, terdapat 84,000 nelayan berdaftar di bawah LKM di seluruh negara, namun jumlah mereka yang terlibat dengan perniagaan hiliran masih rendah.

“Sehingga kini, LKIM sudah pun menggalakkan bidang perniagaan ini dilakukan oleh kumpulan nelayan melibatkan isteri dan anak-anak mereka di bawah Kumpulan Wanita Nelayan dan Kumpulan Belia Nelayan.

“Pada tahun depan, kami mahukan nelayan lebih kreatif dan tidak konvensional dengan mempelbagaikan produk ikan untuk perniagaan misalnya ikan kering, keropok dan ekopelancongan seperti di Teluk Renjuna Tumpat,” katanya pada Program Rahmah Mesra Madani - Libat Urus Pengerusi LKIM bersama Nelayan Negeri Kelantan di Kemasin, di sini pada Ahad.

Turut hadir, Pengarah LKIM Kelantan, Khuzaimah Husain dan Pengerusi Persatuan Nelayan negeri, Mohd Saripundin Isahak.

Muhammad Faiz berkata, LKIM turut menyediakan bantuan dana dan kursus kepada nelayan yang mahu memulakan perniagaan hiliran melalui Bahagian Industri Asas Tani (IAT) LKIM.

Dalam pada itu, menurut beliau, keadaan bekalan ikan dalam negara setakat ini masih terkawal dengan kuota 90 metrik tan ikan sejuk beku seperti kembung, selayang dan cencaru dilakukan menggunakan teknologi pembekuan cepat individu (IQF).

“Bekalan itu akan digunakan sekiranya keadaan mendesak dan ikan-ikan pula akan sentiasa bertambah.

“Selain itu, bagi menjamin bekalan ikan, LKIM sedang berbincang dengan beberapa pemain industri di Sabah untuk proses membawa ikan-ikan ke semenanjung,“ ujarnya.

Penerima, Ab Salam Yacub (tiga dari kanan) menerima sumbangan peralatan menangkap ikan yang disampaikan oleh Muhammad Faiz (dua dari kiri) di Kelantan pada Ahad.
Penerima, Ab Salam Yacub (tiga dari kanan) menerima sumbangan peralatan menangkap ikan yang disampaikan oleh Muhammad Faiz (dua dari kiri) di Kelantan pada Ahad.

Pada program itu, Muhammad Faiz turut menyampaikan bantuan berjumlah RM100,000 di bawah Program Peningkatan Pendapatan - Insentif dan Bantuan Peralatan Penangkapan Ikan (Touch Point) kepada 160 nelayan daripada nelayan dari Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Bachok dan Kota Bharu.

“Bantuan Touch Point bertujuan meningkatkan pendapatan nelayan golongan B40 dan meningkatkan taraf serta kualiti hidup mereka.

“Bantuan juga meningkatkan kecekapan dan kemahiran serta produktiviti nelayan melalui tiga unit enjin bot 40HP, 77 unit kotak fiber 100 liter dan 109 unit pukat pelbagai jenis,” kata beliau.