X

Kindly register in order to view this article
!

Bulat air kerana pembetung

A
A

BULAT manusia kerana muafakat, itulah pelengkap kepada peribahasa di atas. Ia menunjukkan kesepakatan dan keakraban yang terbentuk antara individu dalam satu pasukan akan membuahkan hasil yang membanggakan.

Kerjasama yang wujud dalam kalangan ahli pasukan sama ada dalam kehidupan atau organisasi memang tidak dinafikan penting bagi memastikan kejayaan pencapaian matlamat. Secara dasarnya, kekuatan organisasi bergantung kepada kekuatan pasukan.

Pasukan terdiri daripada individu yang bekerja dalam satu kumpulan yang mempunyai matlamat sama seperti menyiapkan sesuatu tugasan. Ia juga boleh terdiri daripada jabatan atau pusat tanggungjawab jika dilihat dari perspektif tadbir urus.

Walaupun begitu, terdapat juga pasukan yang dibentuk gagal mencapai matlamat yang ditetapkan atau agak perlahan untuk mengorak langkah ke hadapan. Ini terjadi mungkin disebabkan setiap ahli berpegang teguh pada sesuatu prinsip peribadi masing-masing, gagal berasimilasi dan mempunyai matlamat yang berbeza-beza. Suasana ini tentunya mewujudkan pelbagai konflik dalam kalangan ahli pasukan dan menjadikan matlamat penubuhan kabur.

Mengapakah keeratan dalam pasukan penting? Pertama, ia boleh meningkatkan kepuasan kerja kepada ahli pasukan. Ahli pasukan mampu berkomunikasi dengan baik antara satu sama lain. Komunikasi yang terjalin dengan baik ini menimbulkan komitmen dan semangat kekitaan yang tinggi dalam kalangan ahli pasukan.

Kedua, keeratan mempunyai pengaruh besar terhadap prestasi. Hubungan erat antara ahli pasukan boleh mempengaruhi rakan lain dalam pasukan yang mempunyai motivasi kerja yang lemah.

Kriteria yang perlu ada bagi membentuk pasukan berkesan dalam organisasi, antaranya adalah melalui: 1. Komitmen pencapaian. Tanpa kesefahaman dan komitmen, pasukan hanya sekadar terdiri daripada sekumpulan individu yang tidak menunjukkan kerjasama antara satu sama lain. Dengan adanya matlamat yang jelas dan kekuatan pasukan, ia akan mendorong ahli bekerja sebagai satu pasukan yang bersemangat dan berupaya untuk mencapai kejayaan luar biasa.

2. Sumbangan ahli pasukan. Setiap individu perlu diberitahu bahawa sumbangan setiap ahli adalah amat diperlukan bagi kejayaan pasukan. Sumbangan yang diiktiraf itu tentunya meningkatkan kepuasan kerja individu. Kepuasan juga dapat dicapai jika ahli diberi kebebasan membuat perubahan serta berpeluang meningkatkan lagi kemahiran masing-masing dalam pasukan.

Membentuk pasukan yang terdiri daripada individu yang mempunyai pelbagai kemahiran dan terdiri daripada etnik dan bangsa yang berbeza turut memberikan kelebihan kepada pasukan tersebut.

3. Bekerja bersama-sama. Ahli pasukan perlu mengekalkan komitmen mereka untuk bekerja bersama-sama. Pasukan yang berkesan tidak akan berpecah-belah atau dibubarkan selepas melaksanakan sesuatu projek dan selepas menempuh segala kesukaran. Sebaliknya, ahli-ahli pasukan akan berasa gembira kerana mereka telah menyertai pasukan tersebut.

Ciri-ciri pasukan berkesan di atas boleh membantu pencapaian matlamat dalam jangka masa singkat. Bagaimanapun, pasukan juga boleh mencetuskan aspek negatif yang tersendiri. Apabila dua individu atau lebih bergabung, masalah penyelarasan biasanya akan timbul.

Antaranya adalah masalah menyelaraskan tugasan, tanggungjawab, kuasa dan lain-lain. Selain itu, wujud juga tekanan terhadap keseragaman. Bagi menonjolkan identiti pasukan, kadangkala semua ahli terpaksa mengorbankan identiti peribadi.

Selain itu, walaupun ada ahli pasukan yang tidak bersetuju dengan tindakan pasukan, mereka mungkin terpaksa bersetuju kerana mereka tergolong dalam golongan minoriti.

Begitulah lumrah yang biasa berlaku dalam pasukan. Politik, konflik dan nada melankolik adalah simfoni lazim bagi sesebuah pasukan. Bagi mengelakkan simfoni yang tidak indah ini, perasaan empati, bertimbang rasa dan bertolak ansur perlu ada dalam pasukan. Kehilangan perasaan ini daripada ahli kumpulan akan menyebabkan pasukan gagal mencapai apa yang diharapkan.

* Profesor Dr Zafir Khan Mohamed Makhbul ialah Timbalan Dekan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!