Pelantikan 10 Exco hasil kesepakatan PH-BN - Aminuddin

Aminuddin pada sidang media selepas majlis pelantikan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) di Istana Seri Menanti, pada Khamis. - Foto Bernama
Aminuddin pada sidang media selepas majlis pelantikan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) di Istana Seri Menanti, pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA PILAH - Pelantikan 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan pada Khamis merupakan hasil kesepakatan dan perbincangan antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) daripada peringkat akar umbi hingga ke kepimpinan utama parti.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, beliau optimis barisan kepimpinan berkenaan mampu melakukan yang terbaik untuk pentadbiran kerajaan negeri, sekali gus memastikan kejayaan agenda Aspirasi Perpaduan Negeri Sembilan dapat direalisasikan.

"Barisan Exco dalam kalangan baharu dan lama adalah baik...ada Exco Kanan (Datuk Seri Jalaluddin Alias), ia pertama kali dalam pentadbiran kita (negeri).

"Setiap portfolio disusun mengikut senioriti, kemampuan serta kebolehan ahli Exco dalam kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada parti gabungan Kerajaan Perpaduan dengan menampilkan enam muka baharu dan empat muka lama,” katanya kepada pemberita selepas Istiadat Penyerahan Watikah, Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Exco di Istana Besar Seri Menanti di sini pada Khamis.

Aminuddin berharap semua Exco berkenaan akan membawa perubahan dan memacu pembangunan negeri, selain pengalaman daripada barisan muka lama dapat membantu Exco baharu mentadbir serta mengurus Negeri Sembilan dengan lebih baik.

Aminuddin, yang juga ADUN Sikamat, berkata, pelantikan tiga Exco wanita pada kali ini melepasi 30 peratus, sekali gus menunjukkan kerajaan negeri tidak meminggirkan peranan wanita dalam pentadbiran negeri.

Sementara itu, ADUN Pertang, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, lantikan barisan Exco dipersetujui secara kolektif oleh semua pihak demi kestabilan Kerajaan Perpaduan dan memperkukuhkan pentadbiran di bawah kepimpinan Aminuddin di Negeri Sembilan.

"Setelah berbincang bersama PH, maka kita sudah mencapai keputusan kolektif untuk kestabilan Kerajaan Perpaduan. Keputusan diambil selepas mengambil kira pelbagai aspek maka kami bersetuju pecahan Exco, BN (empat), DAP (empat) dan dua PKR," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri itu berkata, BN dan PH adalah satu pasukan Kerajaan Perpaduan yang akan memacu pentadbiran Negeri Sembilan serta melaksanakan tugas untuk kesejahteraan rakyat dengan lebih baik.

"Kami akan pastikan segala agenda pembangunan, kemudahan infrastruktur dapat dilaksanakan segera bagi memastikan manifesto yang dibentangkan dapat dilaksanakan," katanya yang menyifatkan pelantikannya sebagai Exco Kanan satu pengiktirafan kepada BN. - Bernama