Kenyataan Tony Pua tidak mewakili DAP - Sheikh Umar

SHEIKH UMAR
SHEIKH UMAR
A
A
A

JOHOR BAHRU - Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali berpandangan kenyataan dikeluarkan bekas Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua bukan mewakili parti.

Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP itu sebaliknya melihat kenyataan dikeluarkan Tony Pua itu atas kapasiti dirinya sendiri memandangkan bekas Ahli Parlimen Damansara itu tidak memegang apa-apa jawatan di dalam DAP.

"Tony Pua pada ketika ini tidak memegang apa-apa jawatan dalam DAP. Oleh itu, saya fikir beliau bercakap atas kapasiti dirinya sendiri dan bukan mewakili parti.

"Sebarang kenyataan provokatif mesti dielakkan. Jangan ibarat menembak kaki sendiri sedangkan kita baru mahu stabil berdiri untuk menghadapi cabaran-cabaran yang dihadapi oleh negara pada masa ini," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Beliau yang merupakan Pengerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) memberitahu pada dasarnya, DAP telah memutuskan untuk bekerjasama dengan gabungan politik lain demi mencapai kestabilan politik.

"Ia selepas keputusan PRU15 yang menyaksikan tiada mana-mana parti atau gabungan politik mendapat majoriti mudah bagi membentuk kerajaan pusat.

"Seterusnya menjunjung titah Yang Di-Pertuan Agong supaya Kerajaan Perpaduan dibentuk," katanya.

Justeru beliau berpendapat, seluruh kekuatan parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan mesti difokuskan untuk mewujudkan kestabilan politik dan pemulihan ekonomi.

Media sebelum itu melaporkan, Tony ketika berucap pada Majlis Makan Malam Mengumpul Dana DAP di pekarangan Dewan Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), secara 'tiba-tiba' menggelar BN yang kini bersama Pakatan Harapan (PH) dalam Kerajaan Perpaduan sebagai 'corrupt coalition' atau pakatan 'korup'.

Tony dalam ucapan sama turut menyuarakan harapan supaya PH selepas ini dapat membentuk kerajaan sendiri dalam kalangan komponen gabungan itu tanpa membabitkan UMNO dan BN sekiranya gabungan itu menang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Untuk itu, katanya, Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilantik sebagai Perdana Menteri perlu membuktikan sesuatu kepada rakyat berbilang kaum di negara ini bahawa pentadbiran PH jauh lebih baik dan tidak korup seperti BN.

BN, Bersatu 'pakatan korup' - Tony Pua

'BN sedia jadi pembangkang, DAP boleh tinggalkan UMNO' - Isham

'Tony Pua, sila cermin diri' - Dr Akmal

Kenyataan Tony Pua bukan pendirian DAP - Anthony Loke