ADUN PKR setuju teruskan syarat bon calon RM10 juta

Muhamad Arafat turut memeriksa tayar terpakai di rumah penduduk sempena Gotong-Royong Mega 1.0 dan Pelancaran One Hour Malaysia Clean Up Peringkat Negeri Perak di Kampung Tersusun Batu 5, Tambun pada Sabtu.
Muhamad Arafat turut memeriksa tayar terpakai di rumah penduduk sempena Gotong-Royong Mega 1.0 dan Pelancaran One Hour Malaysia Clean Up Peringkat Negeri Perak di Kampung Tersusun Batu 5, Tambun pada Sabtu.
A
A
A

IPOH - Parti Keadilan Rakyat (PKR) wajar meneruskan syarat bon dalam akujanji calon-calon yang akan bertanding dalam mana-mana pilihan raya termasuk Pilihan Raya Negeri (PRN).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai berkata, syarat bon itu dilihat penting bagi memastikan pengkhianatan tidak mudah berlaku.

Menurutnya, keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Jumaat, membenarkan PKR untuk menuntut RM10 juta daripada bekas Naib Presidennya, Datuk Zuraida Kamaruddin membuktikan ia boleh dilaksanakan.

"Sudah tentu syarat bon ini perlu diteruskan dan saya rasa semua parti akan mulakan atau dah buat perkara ini tetapi sebelum ini tiada peruntukan undang-undang melalui perlembagaan untuk menghalang wakil rakyat daripada melompat parti.

"Dulu ramai yang tak yakin dengan kaedah ini sebab mereka kata susah nak menang jika bawa ke mahkamah tetapi keputusan dibuat mahkamah ini satu petanda baik," katanya kepada pemberita ketika menyempurnakan Gotong-Royong Mega 1.0 dan Pelancaran One Hour Malaysia Clean Up Peringkat Negeri Perak di Dewan Seri Delima, Kampung Tersusun Batu 5, Tambun di sini pada Sabtu.

Muhamad Arafat yang juga Naib Pengerusi PKR Perak berkata, keputusan mahkamah itu juga akan menjadi contoh pada masa akan datang buat semua parti politik bagi mengelak wakil rakyat mereka melompat parti.

Sementara itu, beliau menjelaskan keadaan itu akan memberi pengajaran kepada mana-mana wakil rakyat yang mahu mengkhianati parti berfikir sedalam-dalamnya untuk berbuat demikian jika tidak mahu menanggung kerugian.

Pada Jumaat, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan PKR untuk menuntut RM10 juta daripada bekas Naib Presidennya, Datuk Zuraida Kamaruddin berhubung isu pelanggaran syarat bon yang mengikatnya kepada PKR.

Hakim, Datuk Akhtar Tahir memutuskan demikian selepas membenarkan saman oleh PKR menerusi Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada 28 September 2020.

Menerusi pernyataan tuntutan PKR yang difailkan pada 28 September 2020, Zuraida telah menandatangani bon yang mengikat dirinya untuk membayar sejumlah RM10 juta berdasarkan terma dan syarat bon tersebut.

PKR mendakwa Zuraida telah bersetuju untuk membayar parti jumlah itu selewat-lewatnya tujuh hari sekiranya berlaku beberapa perkara selepas memenangi pilihan raya atas tiketnya seperti meletak jawatan dalam parti atau bergabung dengan pihak lain atau menjadi wakil rakyat bebas.

Parti itu mendakwa pada atau sekitar 24 Februari 2020, Zuraida dalam satu kenyataan bersama 10 ahli Parlimen PKR yang lain telah mengumumkan peletakan jawatan namun memilih untuk kekal sebagai Ahli Parlimen Ampang iaitu kerusi yang dimenanginya atas tiket PKR dan seterusnya membentuk blok baharu dikenali sebagai PN.

Selain Zuraida, 10 lagi ahli PKR yang keluar parti itu ialah Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Gombak), Datuk Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), Baru Bian (Selangau), Datuk Kamaruddin Jaffar (Bandar Tun Razak), Datuk Mansor Othman (Nibong Tebal), Datuk Rashid Hasnon (Batu Pahat), Datuk Seri Dr Santhara Kumar (Segamat), Ali Biju (Saratok), Willie Mongin (Puncak Borneo) dan Jonathan Yasin (Ranau).