DAP sedia gempur UMNO pada PRU16 - Najmi Samsudin

KUALA LUMPUR - DAP Cawangan Wangsa Permai Kepong yang memiliki ahli Melayu paling ramai bersedia untuk menggempur UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Ketuanya, Muhammad Najmi Samsudin berkata, bukan sahaja di Selangor, DAP Cawangan Wangsa Permai Kepong juga bersedia untuk mengerahkan ahli-ahlinya bergerak ke seluruh negara bagi tujuan itu.
"Bukan kita hendak perang dengan UMNO, cuma Melayu DAP bersedia untuk menjelaskan kepada rakyat, terutama pengundi muda, tentang realiti sebenar bahawa DAP bukan musuh UMNO dan DAP pernah berkorban untuk UMNO,” katanya pada Jumaat.
Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke bahawa parti itu tidak tergugat dengan ikrar terbaharu pihak tertentu yang berhasrat menyerang parti berkenaan secara ‘habis-habisan’ semasa Konvensyen DAP Selangor baru-baru ini.
Anthony dilaporkan berkata demikian sebagai tindak balas terhadap tindakan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh yang meletakkan jawatan Exco Melaka, tetapi mempertahankan jawatan Ketua Pemuda UMNO kerana mahu menentang DAP habis-habisan.
Mengulas lanjut, Muhammad Najmi berkata, pihaknya akan sentiasa istiqamah dalam perjuangan kerana mempertahankan prinsip bahawa Malaysia ialah negara berbilang bangsa dan semua pihak harus bekerjasama untuk memupuk perpaduan dan keharmonian di negara ini.
"Secara jelas, rancangan Pemuda UMNO untuk menggunakan DAP sebagai 'punching bag' sangat tidak praktikal dan tidak baik kerana DAP pernah berkorban memberikan DUN Dusun Tua kepada UMNO demi semangat kerjasama dalam Kerajaan Madani,” ujarnya.
Ringkasan AI
- DAP Cawangan Wangsa Permai Kepong yang memiliki ahli Melayu paling ramai bersedia menggempur UMNO pada PRU akan datang
- Muhammad Najmi Samsudin menyatakan bahawa DAP siap bergerak ke seluruh negara untuk tujuan tersebut
- Melayu DAP bersedia menjelaskan kepada rakyat bahawa DAP bukan musuh UMNO dan telah berkorban untuk UMNO
- Reaksi ini timbul sebagai tindak balas kepada ikrar pihak tertentu yang ingin menyerang DAP secara habis-habisan
- DAP mempertahankan prinsip kerjasama antara bangsa untuk memupuk perpaduan dan keharmonian di Malaysia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
