Bicara Cilik Rasuah Busters: Usaha lahirkan generasi benci rasuah

Program berlangsung secara dalam talian dan disiarkan di saluran YouTube SKKB Ts25 dan Facebook Rasuah Busters serta Sinar Bestari.
Program berlangsung secara dalam talian dan disiarkan di saluran YouTube SKKB Ts25 dan Facebook Rasuah Busters serta Sinar Bestari.
A
A
A

SHAH ALAM - Penganjuran Program Bicara Cilik Rasuah Busters secara tidak langsung dapat melahirkan generasi yang bencikan amalan rasuah melalui sistem pendidikan.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, menerusi pendidikan sikap membenci perbuatan terkutuk rasuah dapat disemai sejak awal anak-anak memulakan sesi persekolahan.

Menurutnya, penganjuran program itu juga bertepatan dengan slogan Anak Baik Lagi Cerdik (ABC), iaitu penerapan nilai dan sahsiah perlu diutamakan supaya mereka menjadi insan bermoral, berdisiplin dan berilmu.

“Ia juga selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan bagi memastikan perkembangan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang serta harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.

“Jadi saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua pihak yang telah mencetuskan idea ini serta merealisasikan Bicara Cilik Rasuah Busters pada hari ini (semalam), ” katanya ketika berucap merasmikan program yang berlangsung secara dalam talian itu pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, usaha itu seharusnya menjadi contoh kepada semua sekolah lain agar turut sama mengambil bahagian dalam meningkatkan kesedaran tentang bahaya rasuah mulai peringkat pendidikan awal kanak-kanak lagi.

Fadhlina berucap merasmikan Program Bicara Cilik Rasuah Busters yang berlangsung secara dalam talian pada Sabtu.
Fadhlina berucap merasmikan Program Bicara Cilik Rasuah Busters yang berlangsung secara dalam talian pada Sabtu.

“Saya juga ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Pusat Sumber Sekolah Kebangsaan Kampung Baharu, Jerantut, Pahang dan Rasuah Busters kerana berani mengambil langkah proaktif dalam menyokong gagasan kerajaan untuk membanteras gejala rasuah melalui pendidikan.

“Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada 28 sekolah seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak yang mengambil bahagian dalam Program Bicara Cilik Rasuah Busters ini. Malaysia Bangkit Perangi Rasuah!,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pasukan Rasuah Busters, Datuk Hussamuddin Yaacub dalam ucapannya berkata, didikan sejak kecil tentang bahayanya kesan virus rasuah terhadap negara dan masyarakat dilihat senjata yang paling berkesan dalam memerangi perbuatan jijik berkenaan.

Hussamuddin menyampaikan amanatnya kepada peserta-peseta Bicara Cilik Rasuah Busters pada Sabtu.
Hussamuddin menyampaikan amanatnya kepada peserta-peseta Bicara Cilik Rasuah Busters pada Sabtu.

Beliau berkata, sejajar dengan itu penganjuran program Rasuah Busters Cilik hadir tepat pada masanya dalam matlamat menyemai sikap membenci rasuah.

Jelasnya, rasuah menjadi virus yang paling mudah tersebar untuk memusnahkan kita, memporak-perandakan negara, dan memiskinkan masyarakat.

“Tahniah kepada semua yang menyertai program ini. Adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk menyelamatkan masa hadapan,kerana rasuah ini merupakan satu bencana yang besar.

“Jadi usaha penganjuran program ini merupakan inisiatif yang baik bagaimana kita mulakan satu program untuk tanamkan kepada mereka nilai moral karakter bangsa yang sebenar-benarnya,” katanya.

Tambahnya, didikan awal membolehkan mereka dewasa kelak menolak perbuatan jijik berkenaan.

“Jadi saya kira ini adalah satu permulaan yang baik di mana anak-anak pelajar semua menyertai program ini untuk kita menolak rasuah dari awal lagi.

“Apabila kita dewasa nanti kita tidak boleh menerima budaya rasuah dan jika budaya rasuah ini kita dapat perangi, percayalah masa hadapan anak cucu semua akan menjadi lebih baik, negara lebih makmur dan semua nikmat kesejahteraan akan kita perolehi bersama,” katanya.

Menurutnya, sudah terang dan jelas bahawa virus rasuah menghancurkan negara malah semua agama menolak budaya jijik ini.

Katanya, semua agama mengharamkan rasuah jadi adalah tanggungjawab kita guru-guru ibu bapa, sekolah,pelajar-pelajar dan sesiapa sahaja untuk menolak rasuah.

“Menjadi tanggungjawab kita semua untuk menyemai budaya memerangi rasuah, kita harus berperang dan anggap rasuah musuh utama kita, jom bersama Rasuah Busters untuk Malaysia Bangkit Perangi Rasuah,” tegasnya.

Sebanyak 10 tajuk dikupas oleh peserta cilik antaranya, Kenali Rasuah dan Punca Rasuah, Kesan Rasuah Kepada Ekonomi, Kesan Rasuah Kepada Institusi Sosial, Kesan Rasuah kepada Politik, Cara-cara menangani rasuah, Pandangan Agama Terhadap Amalan Rasuah, Kajian terhadap kes rasuah di Malaysia, Huraian terhadap kesalahan rasuah di Malaysia dan Apakah Rasuah Busters?

Program yang dijalankan secara dalam talian itu disiarkan di saluran YouTube SKKB Ts25 (TV SK Kg Baharu Sekolah Transformasi 2020-2025) dan Facebook Rasuah Busters serta Sinar Bestari.

Senarai pemenang Program Bicara Cilik Rasuah Busters akan diumumkan dalam Sinar Harian selepas barisan juri selesai membuat penilaian dalam tempoh terdekat.