PKR boleh tuntut RM10 juta daripada Zuraida - Hakim

Zuraida
Zuraida
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat, membenarkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk menuntut RM10 juta daripada bekas Naib Presidennya, Datuk Zuraida Kamaruddin berhubung isu pelanggaran syarat bon yang mengikatnya kepada PKR.

Hakim, Datuk Akhtar Tahir memutuskan demikian selepas membenarkan saman oleh PKR menerusi Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada 28 September 2020.

Peguam, Navpreet Singh yang mewakili PKR mengesahkan perkara itu ketika dihubungi pemberita selepas prosiding berkenaan.

Navpreet berkata, mahkamah mendapati bon itu adalah kontrak yang sah dan mengikat bekas Ahli Parlimen Ampang berkenaan.

"Mahkamah berpendapat bahawa, tuntutan RM10 juta iaitu asas untuk penghalang ahli daripada bertindak bertentangan dengan kepentingan parti merupakan jumlah yang munasabah.

"Kadar itu tidak keterlaluan kerana jika jumlah yang lebih rendah ditetapkan, ia tidak akan menjadi penghalang kepada isu kepatuhan kepada parti," katanya.

Peguam itu berkata, hakim menetapkan Zuraida sebagai defendan perlu membayar kos sebanyak RM50,000 kepada PKR selaku plaintif.

Selain Navpreet, PKR turut diwakili peguam, William Leong dan CM Chiew sementara bagi pihak Zuraida ialah peguam, Muhammad Nizamuddin Abdul Hamid.

Navpreet berkata, ketika menyampaikan keputusan mahkamah, Akhtar menyatakan bahawa hujahan Zuraida ketika menandatangani bon di bawah paksaan adalah tidak berasas.

"Bukti menunjukkan dia telah menandatangani bon secara sukarela dengan pengetahuan penuh tentang kandungannya kerana mahu bertanding dalam PRU atas tiket PKR.

"Dakwaan defendan bahawa jumlah RM10 juta melampau adalah tidak berasas kerana dia sendiri menyatakan jumlah perbelanjaan oleh plaintif untuk pencalonan melebihi nilai itu," katanya.

Sementara itu, Muhammad Nizamuddin berkata, pihak defendan akan memfailkan rayuan terhadap keputusan itu ke Mahkamah Rayuan.

Semasa perbicaraan lalu, Saifuddin memberitahu mahkamah bahawa bekas naib presiden parti itu telah menandatangani bon yang mengikatnya kepada parti secara sukarela tanpa paksaan.

Bagaimanapun, Zuraida mendakwa telah menurunkan tanda tangan di bawah paksaan tanpa diberikan pilihan sebenar, sehari sebelum pencalonan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu.

Menerusi pernyataan tuntutan PKR yang difailkan pada 28 September 2020, Zuraida telah menandatangani bon yang mengikat dirinya untuk membayar sejumlah RM10 juta berdasarkan terma dan syarat bon tersebut.

PKR mendakwa Zuraida telah bersetuju untuk membayar parti jumlah itu selewat-lewatnya tujuh hari sekiranya berlaku beberapa perkara selepas memenangi pilihan raya atas tiketnya seperti meletak jawatan dalam parti atau bergabung dengan pihak lain atau menjadi wakil rakyat bebas.

Parti itu mendakwa pada atau sekitar 24 Februari 2020, Zuraida dalam satu kenyataan bersama 10 ahli Parlimen PKR yang lain telah mengumumkan peletakan jawatan namun memilih untuk kekal sebagai Ahli Parlimen Ampang iaitu kerusi yang dimenanginya atas tiket PKR dan seterusnya membentuk blok baharu dikenali sebagai PN.

Selain Zuraida, 10 lagi ahli PKR yang keluar parti itu ialah Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Gombak), Datuk Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), Baru Bian (Selangau), Datuk Kamaruddin Jaffar (Bandar Tun Razak), Datuk Mansor Othman (Nibong Tebal), Datuk Rashid Hasnon (Batu Pahat), Datuk Seri Dr Santhara Kumar (Segamat), Ali Biju (Saratok),Willie Mongin (Puncak Borneo) dan Jonathan Yasin (Ranau).