'Gugurkan Zahid, lantik Menteri Kewangan lain' - Ahmad Fadhli

Ahmad Fadhli Shaari
Ahmad Fadhli Shaari
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari menggesa kerajaan untuk menggugurkan jawatan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kerana menghadapi pertuduhan di mahkamah.

Beliau berkata demikian susulan kenyataan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berhubung pembangkang perlu memberikan cadangan untuk penambahbaikan yang boleh kerajaan lakukan dan bukannya mengadakan konvoi motosikal.

Jelas Ahli Parlimen Pasir Mas itu, konvoi motosikal berkenaan ialah manifestasi kebangkitan orang muda yang meluat dengan kerajaan sedia ada.

“Jika mahukan cadangan, saya berikan dua cadangan terlebih dahulu. Pertamanya mewujudkan persepsi baik kepada pelabur luar bahawa kerajaan serius untuk tidak bertolak ansur dengan perbuatan rasuah dan pecah amanah.

“Langkah paling penting adalah dengan menggugurkan jawatan Timbalan Perdana Menteri yang merupakan seorang individu yang sedang menghadapi pertuduhan di mahkamah. Bukan satu kes, tetapi 47 kes.

“Pilih mana-mana ahli Parlimen yang bersih dan jika perlu daripada UMNO atau Barisan Nasional kerana masih ramai lagi tidak menghadapi pertuduhan di mahkamah,” tulisnya menerusi satu hantaran di Facebook pada Khamis.

Sebelum ini, media tempatan melaporkan Rafizi berkata, pembangkang perlu memainkan peranan baik termasuk menumpukan kepada polisi kerajaan atau menjelaskan apa yang dilakukan mereka ketika menerajui kerajaan dalam tempoh 33 bulan lalu.

Rafizi berkata, cara paling baik untuk PN berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) adalah fokus terhadap siapa yang boleh mentadbir negara dengan lebih baik, bukan Melayu lawan Cina atau keupayaan mengumpulkan konvoi motosikal terbesar.

Mengulas lanjut, Ahmad Fadhli berkata, cadangan kedua adalah dengan melantik Menteri Kewangan yang boleh fokus kepada kerja hakikinya.

“Inilah yang diperjuangkan sendiri oleh Pakatan Harapan sebelum ini bahawa Perdana Menteri dan Menteri Kewangan mestilah orang yang berasingan dalam mewujudkan 'good governance' yang berkesan.

“Bagaimanapun saya yakin, kedua-dua cadangan di atas tidak akan diterima. Jadi kepada rakyat, tolak sahaja kerajaan ini dalam PRN yang akan datang,” ujarnya.