PRN: Jangan manipulasi Triti Laut Sulawesi

Zambry
Zambry
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Semua pihak termasuk ahli politik digesa agar tidak memanipulasikan Triti Laut Sulawesi terutamanya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Tegas Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, sewajarnya jika pihak berkenaan mempunyai keraguan boleh mendapatkan penjelasan daripada kerajaan di Parlimen.

"Adalah sangat mendukacitakan dan malang sekali apabila isu penting ini dimanipulasikan demi meraih dokongan politik," katanya menerusi sesi libat urus bersama media di sini pada Khamis.

Beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memberi penjelasan di Dewan Rakyat dan kementerian juga mengeluarkan kenyataan berhubung perkara tersebut.

"Sesiapa yang mengikuti jawapan PM jelas sekali menyebut kedaulatan wilayah tetap kita dipertahankan.

"Namun ia masih dijadikan bahan politik, ceramah dan kandungan sosial media untuk memberi gambaran akan buruknya kerajaan ini sehingga kononnya mengorbankan wilayah kita kepada Indonesia," katanya.

Zambry berkata, perbincangan mengenai perkara tersebut dibuat berdasarkan undang-undang antarabangsa dan melalui proses lama sejak tahun 2005 sebelum dimuktamadkan pada 2018 ketika pentadbiran kerajaan terdahulu.

"Berdasarkan kedudukan terkini, apa yang diputuskan bahawa keputusan mana telah siap kita tandatangani dahulu. Ia tidak bermakna keputusan itu menggadaikan hak dan blok Malaysia," katanya.

Tambah Zambry, tuduhan yang menyatakan persetujuan persempadanan itu melibatkan keseluruhan Laut Sulawesi atau dirujuk sebagai Anbalat oleh Indonesia juga tidak benar.

"Tindakan tidak baik cuba dibuat oleh pihak tertentu untuk mengelirukan dan menimbulkan persepsi salah," katanya.

Menurutnya, proses perbincangan untuk mencapai persetujuan bagi triti tersebut memerlukan kepakaran yang tinggi dan mesyuarat berterusan.

"Ia bukan proses ketika mana Anwar menjadi Perdana Menteri lalu dalam beberapa bulan terus siap begitu sahaja. Tidak," katanya.

Triti Laut Sulawesi mengandungi peruntukan berkenaan dengan persempadanan laut wilayah antara Malaysia dan Indonesia.

Secara amnya, laut wilayah adalah bahagian laut berdampingan dengan pantai wilayah dan tidak melebihi 12 batu nautika diukur bermula dari pesisir pantai.

Triti itu tidak meliputi Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) dan pelantar benua Malaysia.

Menurut Zambry lagi, triti tersebut adalah penting bagi memastikan kedudukan kedaulatan dan bidang kuasa kedua-dua negara.

"Ini membolehkan Malaysia dan Indonesia menjalankan aktiviti mereka antaranya undang-undang maritim, pencegahan jenayah rentas sempadan, penyeludupan, pemerdagangan manusia," katanya.

Pertukaran instrumen Perjanjian Persempadanan Laut Selat Melaka serta Sulawesi disempurnakan ketika lawatan kerja Presiden Indonesia, Joko Widodo ke Malaysia pada awal bulan ini.