Pencerobohan sempadan: Malaysia tidak kompromi

Adly Zahari - Foto Bernama
Adly Zahari - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia tidak berkompromi terhadap sebarang bentuk pencerobohan sempadan negara dan sentiasa memanfaatkan mana-mana ruang diplomasi pertahanan bagi membangkitkan isu pencerobohan seperti pencerobohan nelayan asing atau ruang udara negara.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata ia sejajar dengan Kertas Putih Pertahanan negara.

"Kerjasama pelbagai hala melalui ASEAN, kerjasama subrantau dan kerjasama dua hala antara pendekatan terbaik dalam mengurus isu keselamatan tradisional dan bukan tradisional yang memerlukan penglibatan pelbagai pihak di peringkat kerajaan, ketenteraan dan agensi penguatkuasaan.

"Kesemua ini merupakan komponen penting strategi perkongsian berwibawa seperti terkandung dalam Kertas Putih Pertahanan negara dalam mempertahan kedaulatan negara dan keutuhan wilayah,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Datuk Dr Ahmad Azam Hamzah yang meminta Menteri Pertahanan menyatakan sejauh manakah solidariti negara ASEAN mampu memastikan rantau ini aman daripada campur tangan kuasa besar dunia.

Ahmad Azam juga ingin tahu usaha penambahbaikan sesama negara jiran dalam isu pencerobohan nelayan di Laut China Selatan agar keselamatan dan kepentingan sempadan terjamin.

Adly berkata, ketika ini ASEAN melaksanakan libat urus melalui pelbagai platform pelbagai hala seperti Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) dan ADMM Plus dengan rakan dialog ASEAN iaitu Amerika Syarikat, Australia, China, India, Jepun, New Zealand, Korea dan Rusia dan Forum Serantau Asean

Beliau berkata, libat urus berkenaan bagi meningkatkan kerjasama dan membina keyakinan sesama negara ahli dalam usaha mengurangkan ketegangan dan mengelak konflik di rantau Asia Tenggara.

Menjawab soalan tambahan Senator Datuk Noraini Idris berhubung langkah kerajaan dalam memastikan pencerobohan ruang udara tidak berlaku, Adly berkata Kementerian Pertahanan mempunyai prosedur tertentu sekiranya berdepan insiden berkenaan.