'Pemeteraian ambil kira nasihat pakar maritim negara' - KLN

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Langkah pemeteraian Triti Selat Melaka dan Triti Laut Sulawesi yang dipersetujui Malaysia-Indonesia mengambil kira elemen-elemen penyelesaian yang dapat dicapai secara bersama menggunakan prinsip pembatasan sempadan maritim.

Kementerian Luar Negeri (KLN) menerusi kenyataan pada awal pagi Rabu memaklumkan ia adalah berdasarkan justifikasi perundangan dan teknikal yang kukuh bagi menyelesaikan isu pembatasan sempadan maritim.

"Pemeteraian kedua-dua triti ini merupakan satu 'milestone' kepada Malaysia dan Indonesia," kata kementerian itu.

Menurut KLN, ia merupakan hasil proses rundingan selama 18 tahun yang melibatkan aspek-aspek teknikal, perundangan, ekonomi dan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.

"Kali terakhir Tltriti seumpama ini dimeterai antara Malaysia dan Indonesia adalah pada 53 tahun yang lalu iaitu Triti 1970," ujar KLN.

Jelas kementerian itu, apabila triti-triti tersebut mula berkuat kuasa, ia akan memberikan kejelasan dari segi kedaulatan dan bidang kuasa yang membolehkan kedua-dua negara menjalankan aktiviti penguatkuasaan undang-undang di kawasan maritim masing-masing secara lebih berkesan.

Ini termasuk aktiviti pencegahan jenayah rentas sempadan seperti penyeludupan barangan dan pemerdagangan manusia.

Di samping itu, kata KLN, aktiviti ekonomi dan pembangunan seperti perikanan, eksplorasi serta eksploitasi sumber marin dalam zon laut wilayah dapat dilakukan dengan lebih teratur dan terjamin.

Garisan sempadan Triti Selat Melaka, Triti Laut Sulawesi

Menerusi persetujuan yang dicapai, Triti Selat Melaka menetapkan garisan sempadan laut wilayah Malaysia dan laut wilayah Indonesia di kawasan paling selatan Selat Melaka.

Garisan sempadan tersebut menghubungkan Titik-titik 8A, 8B dan 8C sebagai sambungan kepada Titik 8 yang merupakan titik penghujung kepada garisan sempadan yang telah dipersetujui antara kedua-dua negara pada 17 Mac 1970 di Kuala Lumpur.

Langkah pemeteraian Triti Selat Melaka dan Triti Laut Sulawesi yang dipersetujui Malaysia-Indonesia mengambil kira elemen-elemen penyelesaian yang dapat dicapai secara bersama menggunakan prinsip pembatasan sempadan maritim.
Langkah pemeteraian Triti Selat Melaka dan Triti Laut Sulawesi yang dipersetujui Malaysia-Indonesia mengambil kira elemen-elemen penyelesaian yang dapat dicapai secara bersama menggunakan prinsip pembatasan sempadan maritim.

Persetujuan garisan sempadan 1970 dikenali sebagai Triti antara Republik Indonesia dengan Malaysia berhubung dengan Persempadanan Laut Wilayah Kedua Negara Di Selat Melaka atau Triti 1970.

Ujar KLN, penetapan garis sempadan maritim yang dipersetujui melalui Triti Selat Melaka itu tidak melibatkan kawasan had Pelabuhan Tanjung Pelepas dan kawasan ship-toship transfer.

"Garis perbatasan persempadanan maritim tersebut juga terletak di luar tiga batu nautika dari pesisir pantai Johor," kata kementerian itu.

Tambah KLN, garis sempadan di bawah Triti Selat Melaka hanya ditetapkan sehingga ke Titik 8C sahaja.

Ini mengambil kira sebarang garisan sempadan sebagai sambungan daripada Titik 8C dan seterusnya mungkin menuju ke arah suatu kawasan yang akan memerlukan rundingan melibatkan tiga negara Malaysia, Indonesia dan Singapura.

"Kerajaan Malaysia akan menentukan proses rundingan bagi pembatasan persempadanan maritim di kawasan berkenaan pada masa yang sesuai.

Perlu dijelaskan juga, perjanjian persempadanan antara Indonesia dan Singapura pada tahun 2009 tidak akan mempengaruhi penentuan garis persempadanan selepas Titik 8C kelak kerana perjanjian tersebut hanya mengikat pihak yang terbabit," kata KLN.

Sementara itu, Triti Laut Sulawesi pula menetapkan sempadan separa laut wilayah antara Malaysia dan Indonesia di Laut Sulawesi berdasarkan garis sempadan menghubungkan Titik-titik M, B1, B, C dan P.

"Garisan sempadan ini belum melengkapi keseluruhan kawasan laut wilayah antara kedua-dua negara di kawasan tersebut," ujar KLN.

Ini kerana menurut kementerian itu, masih terdapat jurang garis sempadan laut wilayah dari tikas air surut iaitu dari timur pesisir pantai Pulau Sebatik ke Titik M.

Pada masa yang sama, terdapat juga jurang dari Titik P menuju ke arah kawasan zon ekonomi eksklusif (ZEE) di mana persempadanan di zon tersebut masih belum dimuktamadkan antara kedua-dua negara.

Tegas KLN, pemeteraian kedua-dua triti tersebut telah mengambil kira nasihat dan pandangan pakar-pakar maritim negara, iaitu Pasukan Rundingan Pembatasan Sempadan Maritim Malaysia.

Pasukan itu diterajui KLN dan dianggotai agensi teras iaitu Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Peguam Negara (AGC), Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) dan Pusat Hidrografi Nasional (PHN).

Pasukan

Rundingan Pembatasan Sempadan Maritim Malaysia turut melibatkan agensi-agensi lain serta pihak-pihak yang berkaitan, termasuk kerajaan negeri dalam merangka strategi dan pendekatan semasa proses rundingan.

KLN ingin menjelaskan bahawa dokumen lima muka surat bertajuk Nota memorandum daripada Menteri Luar Negeri penyelesaian isu sempadan maritim Malaysia- Republik Indonesia bukan dokumen yang disediakan oleh kementerian ini atau mana-mana anggota Pasukan Rundingan Pembatasan Sempadan Maritim Malaysia.

"Kementerian kesal dengan dakwaan oleh sesetengah pihak yang didasarkan pada dokumen tersebut walaupun ia jelas menyeleweng daripada fakta sebenar dan terkini berhubung proses rundingan Triti Selat Melaka dan Triti Laut Sulawesi,"

Kerajaan katanya tidak pernah dan tidak akan sekali-kali mengambil ringan dalam membuat sebarang keputusan yang melibatkan isu kedaulatan Malaysia termasuk isu berhubung persempadanan maritim negara.