Kisah intern, elaun dan cerita sebenar industri

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KECOH di media sosial beberapa hari lepas apabila isu elaun untuk mahasiswa yang membuat latihan industri, atau lazim disebut sebagai intern, menjadi perdebatan.

Ada segelintir mahasiswa menyuarakan kebimbangan bagaimana mereka akan dapat bertahan sepanjang menjalaninya dengan elaun yang sedikit.

Menyifatkan mereka bukan buruh percuma, ada yang menyuarakan pandangan itu selepas melihat permohonan latihan industri menawarkan elaun rendah dan malah ada yang tidak memberi elaun langsung.

Apabila perdebatan mengenai elaun melebihi persiapan mahasiswa menjalani latihan industri menyebabkan dunia pekerjaan ‘kejam’ dek isu ini.

Adakah mahasiswa sedar keadaan ekonomi syarikat-syarikat swasta yang masih bersusah-payah membaiki kantung syarikat selepas kurang dua tahun kita ‘dikurung’ kerana Covid-19.

Dalam keadaan ekonomi yang masih belum stabil dan hampir lumpuh masih ada pemilik syarikat yang masih gulung tikar.

Mahasiswa sepatutnya berazam untuk menimba seberapa banyak pengetahuan dan pengalaman supaya selepas selesai latihan syarikat mahu menawarkan pekerjaan kepada mereka dan tidak menyumbang kepada statistik pengangguran.

Janganlah nanti kerana dek satu dua mahasiswa, habis yang lain dicop ‘diva’ pula.

Pelatih perlu menyedari dan memahami objektif mereka dalam menjalankan latihan industri.

Ada segelintir pelajar mengambil ringan dan hanya mahu sekadar lulus dan merasakan subjek praktikal atau latihan industri ini sekadar sebagai pelengkap landskap pengajian sahaja.

Perbetulkanlah nawaitu dan fokus kepada objektif latihan industri iaitu sebagai satu syarat wajib bagi pelajar dalam program-program tertentu di semua peringkat pengajian tinggi di institusi pengajian tinggi (IPT) iaitu peringkat sijil, diploma dan ijazah sarjana muda bagi memenuhi syarat penganugerahan sijil, diploma dan ijazah sarjana muda masing-masing.

Alam pekerjaan amat berbeza jika dibandingkan dengan kehidupan di universiti.

Jangan nanti pihak industri pula tidak akan membuka ruang latihan buat mahasiswa apatah lagi menawarkan peluang pekerjaan.

Pihak pensyarah juga perlu main peranan lebih proaktif dan segera mengambil tindakan jika terdapat laporan daripada mahasiswa yang diperlakukan tidak sewajarnya ketika menjalani latihan.