Setahun PH: Pemuda Pas persoal hala tuju PH

Muhammad Khalil Abdul Hadi
Muhammad Khalil Abdul Hadi
A
A
A

MARANG - Pemuda Pas menyifatkan peratusan sokongan terhadap Pakatan Harapan (PH) yang dilaporkan merosot ketika ini memberi gambaran rakyat sudah mula berpatah arang dengan kerajaan hari ini.

Ketua Pemuda Pas, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, dalam tempoh genap setahun PH menjadi kerajaan, kalangan pemerhati politik melihat hala tuju PH masih lagi kucar kacir dan tidak konsisten.

Beliau berkata, sebelum ini ramai yang menyokong PH ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang lalu sehingga mencatat peratusan sokongan paling tinggi sejak PH ditubuhkan.

Bagaimanapun, katanya, terbaharu, peratusan sokongan terhadap PH berada di tahap yang paling rendah sekali selepas PRU14 dan membuktikan ramai kurang percaya dengan PH.

"Mengapa majoriti yang menyokong PH ketika PRU14 lalu berpaling tadah dengan tidak menyokong PH, malah memberikan kritikan yang teruk terhadap kerajaan PH serta polisi-polisi mereka?

"Ini kerana, ramai merasakan tiada perubahan yang berlaku seperti yang dijanjikan sebelum PRU14.

"Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dipotretkan PH sebelum PRU14 sebagai punca utama harga dan kos barangan termasuk perkhidmatan meningkat, tetapi setelah GST diganti dengan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), ia tetap seolah-olah tidak ada perubahan dan PH gagal menurunkan kesemua yang dijanjikan," katanya, hari ini.

Sehubungan itu, SST dilihat hanya retorik apabila dikatakan harga dan kos barangan termasuk perkhidmatan mampu diturunkan.

Artikel Berkaitan:

"Harga majoriti barangan keperluan dan kos barangan tetap tidak turun, malah ada banyak yang meningkat dengan cukup drastik.

"Ringgit jatuh teruk dan keadaan ekonomi tidak menentu selepas PH menjadi kerajaan. Kerajaan seperti tiada haluan dalam menguruskan ekonomi negara," katanya.

Beliau berkata, harga komoditi utama negara seperti sawit dan getah juga turun dengan cukup drastik hingga menjejaskan kehidupan peneroka dan pekebun kecil.

"Ketiadaan pelan jangka pendek mahupun panjang berkesan dalam menangani kelembapan ekonomi negara menjadi antara penyumbang kepada kegagalan kerajaan PH.

"Walaupun sudah dibentangkan belanjawan 2019 untuk merancakkan semula ekonomi membuktikan kerajaan terutamanya Menteri Kewangan (Lim Guan Eng) gagal dalam menguruskan ekonomi berkesan.

"Hala tuju politik PH juga kucar-kacir dan tidak konsisten oleh pemerhati politik tempatan mahupun antarabangsa. Walaupun telah bergelar kerajaan, PH dilihat jelas tidak sependapat.

"Kebanyakan pemimpin kerap mengeluarkan kenyataan mahupun polisi tidak konsisten sesama mereka, malah adakala sikap berpolitik secara berlebihan memaparkan setiap parti di dalam PH mempunyai agenda masing masing yang tidak selari dengan polisi mahupun manifesto," katanya.

Lebih memburukkan keadaan, katanya, kebanyakan polisi dan amalan kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu yang dikritik hebat dikekalkan atau diulang semula (u turn).

Jelasnya, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tidak dihapuskan seperti dijanjikan, Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) bukan sahaja dikekalkan malah ditambah dan banyak lagi.

"Dalam masa sama, majoriti orang Melayu Islam mula khuatir dengan sikap kerajaan PH yang di lihat seperti tidak mempertahankan Islam, hak dan keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera serta Raja Raja Melayu.

"Isu Konvensyen Antarabangsa Penghapusan Diskriminasi Kaum (ICERD) dan Statut Rome adalah contoh jelas bagaimana orang Melayu Islam bangkit menolak keputusan kerajaan PH, malah Raja Raja Melayu turut tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan.

"Jelas apa yang boleh dilihat, PH gagal menjadi kerajaan seperti yang di janjikan mereka sebelum PRU14," katanya.